Pochettino pertimbang tawaran AS

Pochettino pertimbang tawaran AS

MAURICIO Pochettino-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIAMI: Masa depan Mauricio Pochettino bersama skuad kebangsaan Amerika Syarikat (AS) dijangka terjawab minggu depan apabila jurulatih itu mengesahkan sedang mempertimbangkan lanjutan kontrak daripada Persatuan Bola Sepak Amerika Syarikat (US Soccer).

Pengendali berusia 54 tahun itu masih belum membuat keputusan sama ada akan meneruskan projek bersama US Soccer selepas kempen Piala Dunia 2026 berakhir dengan kekecewaan apabila tuan rumah tersingkir di pusingan 16 terbaik selepas dibelasah Belgium 1-4.

Bagaimanapun, US Soccer dilaporkan masih yakin terhadap kemampuan bekas pengurus Tottenham Hotspur, Paris Saint-Germain dan Chelsea itu apabila menawarkan kontrak baharu sehingga Piala Dunia 2030.

Pochettino yang menerima gaji sekitar AS$6 juta (RM25.5 juta) setahun, sekali gus menjadikannya jurulatih dengan bayaran tertinggi dalam sejarah bola sepak AS, berkata, beliau mahu menilai semua aspek sebelum membuat keputusan muktamad.

“Kami sedang menilai keadaan dan melihat semua perkara. US Soccer sudah memberikan tawaran untuk saya teruskan dan kita akan lihat. 

“Minggu depan kami akan membuat keputusan,” katanya kepada stesen radio Sepanyol, Cadena Cope.

Selepas kekalahan kepada Belgium, Pochettino sebelum ini mengakui memerlukan sedikit masa untuk berehat sebelum berbincang mengenai hala tuju kariernya bersama skuad kebangsaan itu.

Pelantikannya selepas Piala Dunia 2022 pada awalnya disambut penuh harapan dengan misi mengangkat generasi baharu AS, namun kegagalan memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri mengundang kritikan hebat.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN