BUENOS AIRES: Pegawai tertinggi bola sepak Argentina semalam menafikan sekeras-kerasnya laporan Presiden Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA), Claudio Tapia, dan bendaharinya, Pablo Toviggino, ditahan serta disoal siasat ketika meninggalkan Amerika Syarikat (AS) selepas perlawanan akhir Piala Dunia.
Bagaimanapun, AFA mengakui pihak berkuasa AS sedang menjalankan siasatan terhadap pihak ketiga yang mempunyai kaitan dengan persatuan itu.
AFA mengeluarkan kenyataan susulan laporan media yang mendakwa Tapia dan Toviggino ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy (JFK), New York, sebelum menaiki penerbangan yang membawa pulang skuad kebangsaan Argentina selepas tewas kepada Sepanyol pada aksi final Ahad lalu.
Menurut laporan berkenaan, kedua-dua mereka ditahan untuk disoal siasat dan peranti elektronik milik mereka turut dirampas oleh pihak berkuasa AS sebelum diarahkan hadir ke mahkamah berhubung kontrak antarabangsa AFA.
Namun, AFA menafikan semua dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai ‘tidak benar sama sekali’.
“Semuanya adalah pembohongan,” kata satu sumber dalam AFA kepada AFP.
Sementara itu, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) enggan mengulas mengenai perkara berkenaan.
AFA bagaimanapun mengakui sebuah mahkamah daerah di negeri Florida mengeluarkan saman terhadap ‘pihak ketiga’ yang mempunyai kaitan dengan persatuan itu.
Menurut AFA, individu berkenaan diarahkan hadir di hadapan juri besar serta mengemukakan dokumen dan komunikasi yang mungkin berkaitan dengan beberapa individu, termasuk pegawai kanan persatuan berkenaan.
AFA yang diterajui tokoh berpengaruh bola sepak Argentina, Tapia, sejak 2017, kini berdepan beberapa siasatan di negara itu.
Satu siasatan memfokuskan dakwaan pengubahan wang haram, manakala satu lagi membabitkan kesalahan pengelakan cukai.
Di bawah kepimpinan bekas pemimpin kesatuan sekerja itu, hubungan AFA dengan pentadbiran Presiden berhaluan kanan, Javier Milei, semakin tegang.
Tapia, misalnya, lantang menentang hasrat Milei yang mengamalkan dasar ekonomi liberal untuk menswastakan kelab bola sepak di seluruh Argentina.










