PUTRAJAYA: Kementerian Ekonomi mengunjurkan perbelanjaan pembangunan (DE) sebanyak RM58 bilion bagi 2027 agar agenda pembangunan negara dapat diteruskan secara mampan.
Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, unjuran itu merupakan cadangan awal kementerian sebelum dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027.
Katanya, daripada jumlah tersebut, kira-kira 70 peratus akan tertumpu kepada pembangunan asas bagi menjamin kesinambungan penyelenggaraan dan pelaksanaan projek pembangunan negara.
“Dalam kita menguruskan pembangunan negara, khususnya melihat kepada perbelanjaan pembangunan, kerajaan meletakkan perbelanjaan itu kepada dua peringkat iaitu perbelanjaan mengurus (OPEX) dan perbelanjaan pembangunan (DE).
“Formula yang kita cuba kekalkan ialah 70 peratus daripada keseluruhan DE akan tertumpu kepada pembangunan asas,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi di sini semalam.
Beliau berkata, kepimpinan tertinggi kementeriannya kini sedang memuktamadkan perancangan pembangunan bagi 2027 sebelum cadangan itu dikemukakan kepada MOF.
Menurut beliau, MOF kemudiannya akan meneliti keseluruhan cadangan tersebut sebagai sebahagian daripada proses penyediaan Belanjawan 2027.
Mengulas mengenai andaian harga minyak global dalam Belanjawan 2027, Akmal berkata, perkara itu turut diambil kira namun penilaian berhubung unjuran harga minyak adalah di bawah bidang kuasa MOF.
Katanya, tumpuan Kementerian Ekonomi ketika ini adalah memastikan keperluan perbelanjaan pembangunan negara dirancang dengan sebaiknya bagi menyokong agenda pembangunan jangka panjang.
“Penilaian dari segi mengimbangi keperluan fiskal termasuk unjuran harga minyak bagi tahun hadapan akan ditentukan di peringkat Kementerian Kewangan.
“Di peringkat kami, tumpuan lebih kepada perbelanjaan pembangunan dan memastikan pembangunan asas negara terus diberi keutamaan,” katanya.
Beliau berkata, walaupun anggaran pertumbuhan ekonomi bagi suku kedua 2026 adalah 5.8 peratus, menjadikan pertumbuhan separuh pertama tahun ini sebanyak 5.6 peratus, kerajaan perlu terus berwaspada berikutan negara masih belum keluar daripada krisis global sepenuhnya.
Katanya, pertumbuhan itu melebihi unjuran Bank Negara Malaysia sebanyak 4.0 hingga 5.0 peratus bagi 2026, namun asas pertumbuhan yang tinggi pada separuh pertama tahun ini akan memberi tekanan untuk mengekalkan prestasi yang sama pada suku ketiga dan suku keempat.
Tambahnya, faktor lain seperti El Nino juga perlu diambil kira yang boleh menjejaskan aktiviti ekonomi.
Belanjawan 2027 dijadualkan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 9 Oktober 2026 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UTUSAN










