JOHOR BAHRU: Seorang pengarah sebuah syarikat import dan eksport mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mengelak membayar duti kastam bernilai lebih RM150,000, enam tahun lalu.
Tertuduh, Sabariah Ibrahim, 58, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurzihan Abdul Rehman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Sabariah didakwa secara sedar terbabit dalam mengelak satu duti kastam bernilai RM150,319.50 di Cawangan Import Bangunan Sultan Iskandar di sini, pada pukul 3.41 petang, 2 Januari 2020.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam dibaca bersama Seksyen 140 akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(i)(aa) akta yang sama.
Tertuduh berdepan hukuman denda minimum 10 kali ganda nilai duti iaitu RM1,503,195 hingga nilai maksimum 20 kali ganda duti iaitu RM3,006,390 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua- duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 selain menetapkan 1 September depan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen.
Sementara itu di mahkamah sama, Syarikat Perkhidmatan Import dan Eksport Toon Sdn. Bhd. turut berdepan pertuduhan sama, dimana Sabariah sebagai pengarah mewakili syarikat turut mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Pendakwaan ke atas syarikat dibuat mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam dan boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(i)(aa) akta yang sama dengan hukuman denda dan penjara yang sama, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 6 Ogos depan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Amiera Wahyunie Zainordin dan Atheerah Azizan, manakala tertuduh dan syarikat diwakili peguam, Abd. Rahim Ali.-UTUSAN










