JOHOR BAHRU: Pelantikan 10 Timbalan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri dibuat mengikut ruang kuasa pentadbiran berlandaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor serta nasihat Penasihat Undang-Undang Negeri.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelantikan berkenaan tidak mewujudkan sebarang kuasa eksekutif baharu, tidak memindahkan kuasa Exco sedia ada mahupun mengubah struktur pentadbiran negeri.
Menurutnya, pelantikan itu dibuat mengambil kira kemampuan kewangan negeri dan hanya melibatkan implikasi kewangan minimum dengan penggunaan aset serta kemudahan sedia ada.
“Adalah penting difahami bahawa Timbalan Exco bukan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Mereka tidak mempunyai kuasa membuat keputusan bagi pihak Exco, tidak menghadiri Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri dan tidak mempunyai kuasa meluluskan dasar, kewangan atau apa-apa keputusan eksekutif.
“Semua kuasa membuat keputusan kekal berada sepenuhnya di bawah Exco sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Terdahulu, beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) Johor mengeluarkan kenyataan mengkritik pelantikan 10 Timbalan Exco yang diumumkan Onn Hafiz, kelmarin.
Tambah beliau, pelantikan itu bukan bertujuan menambah jawatan politik atau memperbesar birokrasi, sebaliknya bagi meningkatkan kapasiti pentadbiran supaya pemantauan projek dan penyelesaian isu rakyat dapat dilaksana secara lebih cekap, pantas dan berkesan.
“Johor kini sedang memacu pelbagai agenda strategik berimpak tinggi menjelang tahun 2030, antaranya Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) dan projek Sistem Transit Rapid (RTS Link).
“Seiring perkembangan pesat tersebut, kapasiti pentadbiran negeri perlu diperkukuh agar setiap dasar yang dirancang dapat diterjemahkan kepada hasil nyata demi manfaat Bangsa Johor,” katanya.-UTUSAN










