EAST RUTHERFORD: Permukaan padang Stadium MetLife di New York dijangka memainkan peranan besar dalam menentukan siapa bakal menjulang trofi Piala Dunia 2026 pada final antara Sepanyol dan Argentina, Isnin ini.
Selepas menjadi sasaran kritikan sepanjang kejohanan, permukaan padang di venue berkenaan sekali lagi mencuri perhatian apabila cuaca panas menghampiri 30 darjah Celsius dan kelembapan tinggi dikhuatiri menjejaskan kualiti rumput serta corak permainan kedua-dua pasukan.
Sepanjang kempen Piala Dunia kali ini, beberapa pemain dan jurulatih mengeluh dengan keadaan padang yang didakwa terlalu keras sehingga menjejaskan kelancaran pergerakan bola selain meningkatkan risiko kecederaan kepada pemain.
Antara yang pernah menyuarakan kebimbangan ialah Vinicius Junior, Adrien Rabiot dan pengendali Norway, Stale Solbakken, dengan Rabiot turut menyifatkan permukaan di Stadium MetLife sebagai tidak layak dipanggil rumput susulan keadaan yang dianggap jauh daripada standard kejohanan terbesar dunia itu.
Selain mempengaruhi aspek fizikal pemain, permukaan yang keras turut dijangka memberi kesan terhadap taktikal perlawanan, terutama buat Sepanyol yang terkenal dengan corak permainan hantaran pendek, penguasaan bola dan pergerakan pantas di setiap kawasan padang.
Cabaran itu menjadi lebih besar apabila skuad kendalian Luis de la Fuente hanya beraksi sekali di stadium terbuka sepanjang kejohanan, manakala enam lagi perlawanan sebelum ini berlangsung di venue berbumbung yang menawarkan keadaan cuaca dan permukaan padang lebih konsisten.
Sebaliknya, Argentina dilihat mempunyai sedikit kelebihan kerana lebih berpengalaman mengharungi perlawanan berintensiti tinggi dan bersifat fizikal, sekali gus membolehkan juara bertahan itu menyesuaikan diri dengan lebih cepat jika keadaan padang terus menjadi isu.
Kebimbangan itu semakin memuncak selepas wartawan Liga Bolasepak Kebangsaan (NFL), Richard Johnson melaporkan pihak penganjur akan memasang semula rumput asal Stadium MetLife hanya sehari sebelum sepak mula.
Situasi itu, sekali gus menjadikan keadaan permukaan padang sebagai faktor yang mungkin membezakan antara kemenangan dan kekecewaan dalam final yang dijangka ditentukan oleh perincian paling kecil. – AGENSI










