Onn Hafiz umum barisan exco Johor, empat muka baharu - Utusan Malaysia

Onn Hafiz umum barisan exco Johor, empat muka baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan senarai 10 barisan exco kerajaan negeri yang baharu, dengan sebahagian besar daripadanya kekal manakala empat muka baharu ditampilkan.

Onn Hafiz membuat pengumuman itu di kediaman rasmi Menteri Besar Johor, di sini hari ini.

Mereka yang kekal adalah Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai; Mohamad Fazli Mohamad Salleh (DUN Bukit Pasir); Mohd. Hairi Mad Shah (DUN Larkin); Mohd. Fared Mohd. Khalid (DUN Semerah); Lee Ting Han (DUN Paloh); Ling Tian Soon (DUN Yong Peng).

Manakala muka baharu yang ditampilkan adalah Md. Israk Abdullah (DUN Kukup); Dr. Muhammad Naqib Ghazali (DUN Panti); Hasrunizah Hassan (DUN Pulai Sebatang) dan P. Pannir Selvam (DUN Perling).

Onn Hafiz berkata, pelantikan jawatan exco ini bukan satu keistimewaan, sebaliknya merupakan satu amanah yang besar kepada rakyat negeri ini.

“Saya ingatkan mereka bahawa ini bukan masa berbulan madu, mandat yang diberikan rakyat perlu diterjemahkan kepada perkhidmatan cekap sekaligus meneruskan agenda Maju Johor 2030.

“Kita perlu bekerja lebih fokus dan berkesan untuk membina Johor yang maju dan makmur, kerajaan negeri ini akan bela semua kaum, Melayu, Cina, India dan juga Orang Asli. Kita semua bangsa Johor,” katanya.

Terdahulu, kesemua barisan exco Johor yang baharu selesai menghadiri Majlis istiadat angkat sumpah jawatan exco negeri di Istana Bukit Serene, di sini di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Sementara itu, mereka yang digugurkan daripada senarai exco adalah K. Raven Kumar; Aznan Tamin; Datuk Zahari Sarip dan Khairunnisa Ismail.

Ahad lepas, Onn Hafiz yang memenangi kerusi DUN Machap telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua berturut-turut, selepas Barisan Nasional (BN) memenangi 48 daripada 56 kerusi DUN.

Berikut merupakan senarai exco dan portfolio mereka:

1. Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor.

2. Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Mohd. Hairi Mad Shah.

3. Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Mohd. Fared Mohd. Khalid.

4. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Ling Tian Soon.

5. Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Lee Ting Han.

6. Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

7. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hasrunizah Hassan.

8. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, Md. Israk Abdullah

9. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan, Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali

10. Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya, P. Pannir Selvam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN