NEW YORK: Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente mengakui Lionel Messi kekal menjadi ancaman terbesar pasukannya menjelang final Piala Dunia 2026 menentang Argentina di Stadium MetLife, hari ini.
Bagaimanapun, dia menegaskan La Roja tidak akan menggunakan strategi kawalan individu bagi mengekang kapten Argentina itu, sebaliknya memberi tumpuan kepada kawalan secara berpasukan.
Menurut De la Fuente, pengalaman berdepan Messi sejak di peringkat remaja membuktikan pemain berusia 39 tahun itu hampir mustahil dikawal sepanjang 90 minit.
“Kali pertama saya berdepan Messi ialah ketika melatih skuad remaja Sevilla. Kami bertandang ke Barcelona dan saya diberitahu mengenai bakat luar biasa seorang pemain muda bernama Messi.
“Kami menugaskan seorang pemain untuk mengawalnya secara individu, namun pada minit ke-70 saya terpaksa mengeluarkan pemain itu selepas dilayangkan kad kuning. Ketika kedudukan masih 0-0, Messi menjaringkan empat gol dalam tempoh 15 minit berikutnya,” katanya.
Justeru, De la Fuente berkata, pendekatan sama tidak akan digunakan dalam aksi final kerana lebih penting untuk seluruh pasukan sentiasa berwaspada terhadap pergerakan semua pemain Argentina.
“Kami tidak akan menggunakan kawalan individu. Apa yang penting ialah sentiasa berwaspada dan memberi perhatian khusus kepadanya,” katanya.
Messi mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kempen Piala Dunia kali ini apabila membantu Argentina mara ke final, yang dijangka menjadi penampilan terakhirnya di pentas terbesar bola sepak dunia.
De la Fuente menyifatkan bintang Inter Miami itu sebagai pemain yang sukar dicari ganti dan menjadi contoh terbaik kepada generasi muda.
“Messi adalah pemain yang unik. Sikap, disiplin dan tingkah lakunya menjadi contoh kepada atlet muda, lebih-lebih lagi dengan persembahan luar biasa yang dipamerkannya pada usia 39 tahun,” katanya.
Pada masa sama, De la Fuente menolak dakwaan bahawa Argentina akan menggunakan taktik kasar atau helah bagi mengganggu rentak permainan Sepanyol.
“Saya tidak akan sesekali mengatakan perkara seperti itu. Saya amat menghormati Argentina. Mereka ialah juara Piala Dunia, memenangi dua Copa America serta Finalissima, selain dibimbing rakan baik saya, Lionel Scaloni.
“Saya percaya kedua-dua pasukan akan mengutamakan bakat dan corak permainan berkualiti berbanding perkara lain,” katanya.
Mengulas mengenai tempoh rehat separuh masa yang dijangka dipanjangkan bagi memberi laluan kepada persembahan hiburan, De la Fuente berkata, pasukannya sudah bersedia menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut.
“Mungkin dalam tempoh 30 tahun akan datang, perkara yang dianggap luar biasa hari ini akan menjadi kebiasaan. Bola sepak sentiasa berkembang dan kami perlu menyesuaikan diri serta menikmatinya,” katanya. -AGENSI










