Mayat wanita ditemukan dengan kaki, tangan terikat - Utusan Malaysia

Mayat wanita ditemukan dengan kaki, tangan terikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Mayat seorang wanita yang dipercayai dibunuh telah ditemukan terapung dengan keadaan tangan dan kakinya diikat di dalam Sungai Tanjung Serindit, Ulu Papan, Pengerang di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat itu daripada orang awam di kaunter aduan Balai Polis Bandar Penawar, pada pukul 9 malam.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian dalam keadaan yang mencurigakan, iaitu bahagian tangan dan kaki diikat menggunakan tali.

“Jasad mangsa dibawa ke Hospital Pasir Gudang bagi tujuan bedah siasat untuk merungkai punca sebenar kematian, sementara polis masih dalam proses mengesahkan identiti mayat,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Yusof, kes diklasifikasi sebagai kes bunuh dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta mandatori sebatan tidak kurang daripada 12 kali jika hukuman mati tidak dijatuhkan.

“Polis juga meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 013-7878771, atau 07-8831222 selain pergi ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN