PETALING JAYA: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan DHL Express memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) baharu bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam meningkatkan kesediaan eksport serta daya saing perniagaan tempatan.
Perjanjian itu memperluas peranan dan sumbangan kedua-dua pihak dalam mempertingkatkan keupayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia bagi mengatasi halangan pasaran serta meneroka peluang di peringkat antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Abu Bakar Yusof, peningkatan keupayaan PMKS serta penyertaan mereka dalam rantaian nilai global merupakan teras kepada misi Matrade, lebih-lebih lagi dalam keadaan perdagangan semasa yang semakin mencabar.
“Landskap perdagangan ketika ini memerlukan perniagaan Malaysia lebih bersedia, mempelbagaikan pasaran serta mempunyai daya tahan yang lebih kukuh berbanding sebelum ini.
“Pengeksport kita sedang berdepan cabaran seperti perubahan dasar tarif, gangguan rantaian bekalan dan peningkatan risiko pengangkutan.
“Kerjasama diperbaharui bersama DHL akan melengkapkan perusahaan tempatan dengan pengetahuan serta keyakinan bagi menghadapi tekanan ini dan merebut peluang baharu dalam pasaran yang menerima barangan serta perkhidmatan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, melalui inisiatif berkenaan, syarikat yang berdaftar dengan Matrade akan terus menyertai program ‘Trade and Grow Beyond Borders’ yang menggabungkan kandungan dalam talian dan bengkel secara fizikal.
Katanya, program latihan yang dikendalikan pakar antarabangsa DHL Express bersama rakan industri itu menyediakan pendedahan berkaitan e-dagang, pembiayaan, pemasaran, logistik, pematuhan kastam serta strategi pertumbuhan mampan.
“Program itu turut selari dengan pelan hala tuju Matrade 2026 yang memberi tumpuan kepada usaha membantu syarikat Malaysia mempelbagaikan pasaran eksport selain pasaran tradisional, khususnya ke rantau ASEAN, Asia Selatan, Asia Tengah dan Afrika.
“Keperluan strategik ini semakin ketara susulan perubahan dasar tarif Amerika Syarikat (AS) penurunan 30 peratus perdagangan Malaysia dengan Asia Barat akibat konflik serantau yang berterusan serta peningkatan risiko kos pengangkutan yang memberi tekanan terhadap daya saing eksport,” ujarnya.
Sejak 2022, program bersama berkenaan menarik hampir 700 peserta menerusi siri latihan di Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Pahang, Sabah dan Sarawak.
Selain itu, tujuh PMKS tempatan turut dipilih menyertai program DHL GoTrade GBSN Fellowship yang menemukan mereka dengan pelajar pascasiswazah daripada Global Business School Network bagi tujuan pembelajaran dan bimbingan.
Sementara itu, Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo berkata, sebagai pemudah cara perdagangan global, DHL mempunyai pengalaman luas dalam menghubungkan perniagaan dengan pelanggan serta komuniti di seluruh dunia.
“Perkongsian kepakaran ini bersama PMKS bagi membantu meluaskan capaian komersial mereka adalah antara usaha kami dalam menyumbang kepada kemakmuran ekonomi yang inklusif.
“Hubungan jangka panjang bersama Matrade membuktikan kekuatan kerjasama sektor awam dan swasta dalam mencapai matlamat ini,” katanya.
Program ‘Trade and Grow Beyond Borders’ merupakan inisiatif di bawah program tanggungjawab sosial GoTrade oleh DHL Group bertujuan mengurangkan halangan perdagangan serta memperkasa PMKS untuk terlibat dalam perdagangan rentas sempadan menerusi penggunaan sumber DHL.
Tahun ini, DHL GoTrade Summit akan berlangsung di Manila, Filipina pada 6 Oktober 2026. – UTUSAN










