PETALING JAYA: Ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui tugas membentuk skuad bagi menghadapi Piala Hyundai ASEAN 2026 bukan sesuatu yang mudah apabila berdepan masalah mendapatkan pelepasan pemain daripada kelab masing-masing.
Menurut Cheng Hoe, situasi tersebut sememangnya sudah dijangka kerana kejohanan berprestij Asia Tenggara itu berlangsung di luar kalendar rasmi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), ketika kebanyakan pasukan Liga Super sedang giat menjalani persiapan pramusim.
Keadaan itu menyebabkan beberapa kelab memilih untuk mengekalkan pemain mereka bagi memastikan persiapan menghadapi musim baharu tidak terjejas, sekali gus menyukarkan proses pemilihan skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, pengendali berusia 58 tahun itu tetap menghargai kerjasama diberikan oleh kelab-kelab yang bersedia melepaskan pemain untuk menyahut cabaran bersama Harimau Malaya dalam kempen kali ini.
“Pertama sekali saya rasa cukup terharu kerana sekali lagi diberi penghormatan untuk dilantik sebagai jurulatih interim skuad kebangsaan. Sudah tentu dengan situasi seperti ini saya anggap ia sebagai satu cabaran.
“Kita tahu kejohanan AFF berlangsung di luar kalendar FIFA dan sedikit sebanyak menjejaskan persiapan pasukan. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kelab-kelab yang melepaskan pemain walaupun kebanyakan mereka sedang menjalani latihan pramusim.
“Namun, ada juga kelab yang tidak dapat melepaskan pemain mereka. Itulah cabaran yang perlu saya lalui, tetapi sebagai jurulatih saya kekal positif dengan barisan pemain yang ada ketika ini,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pertama skuad kebangsaan di Bukit Jelutong, hari ini.
Cheng Hoe bagaimanapun tetap optimis dengan kumpulan pemain yang bersedia menyahut tugas bersama skuad kebangsaan kali ini, bahawa mereka mampu memberikan saingan dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan sepanjang kejohanan.
Beliau turut menjelaskan keputusan memanggil pemain tengah berpangkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal, dibuat selepas menilai prestasi semasa pemain tersebut.
Menurut Cheng Hoe, barisan kejurulatihan sentiasa memantau perkembangan Wan Kuzain bersama kelabnya, Sporting JAX, dan percaya pemain berusia 28 tahun itu mampu menambah dimensi baharu dalam jentera tengah Harimau Malaya.
“Saya melihat Wan Kuzain sangat bersemangat untuk kembali berkhidmat bersama skuad kebangsaan. Barisan kejurulatihan turut memantau prestasinya dan walaupun dia bermain di Liga Dua Amerika Syarikat, kami percaya dia mampu memberi sesuatu kepada pasukan.
“Dia dijangka menyertai kem latihan selepas selesai komitmen bersama kelabnya dan dijangka tiba pada 21 Julai nanti,” katanya.
Harimau Malaya memulakan kem latihan pusat hari ini sebagai persiapan menghadapi Piala Hyundai ASEAN 2026 yang berlangsung dari 24 Julai hingga 26 Ogos depan, dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Myanmar, Laos, Thailand dan Filipina.
Skuad kebangsaan dijadual memulakan cabaran Kumpulan B menentang Myanmar di Yangon pada 25 Julai sebelum melayan kunjungan Laos di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, tiga hari kemudian.
Harimau Malaya kemudian akan bertandang ke Bangkok bagi menghadapi Thailand pada 1 Ogos sebelum menutup aksi peringkat kumpulan menentang Filipina di Cheras pada 8 Ogos.-UTUSAN










