JOHOR BAHRU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menafikan video tular di media sosial berkaitan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di pantai barat Johor, bulan ini.
Pemangku Pengarah Maritim Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, semakan dan penilaian dijalankan mendapati video tersebut digunakan sebagai taktik penipuan oleh pihak tertentu
“Hasil risikan dan siasatan terhadap kes terdahulu mendapati tiada bukti mengesahkan modus operandi seperti yang dipaparkan dalam video tersebut. Kami tidak tolak kemungkinan kandungan itu bagi memperdaya individu yang ingin mendapatkan khidmat membawa masuk atau keluar pendatang asing tanpa izin,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Kama Azri, sindiket penyeludupan migran sentiasa mengubah modus operandi bagi mengaburi mata pihak berkuasa termasuk menggunakan bot fiber berenjin kecil yang menyerupai bot nelayan tempatan dan menukar lokasi pendaratan serta waktu operasi.
“Sepanjang tempoh 2024 hingga bulan ini, Maritim Johor sudah mematahkan 13 cubaan penyeludupan migran melalui laluan laut. Daripada jumlah itu, enam kes direkodkan pada 2024, empat kes pada 2025 dan tiga kes bagi tahun ini.
“Kejayaan itu membuktikan keberkesanan pelaksanaan operasi bersepadu, tindakan risikan yang berterusan serta tahap kesiapsiagaan anggota dan aset maritim dalam memastikan keselamatan perairan negara sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya.-UTUSAN










