KULAI: Pemuda yang mati dibunuh dipercayai oleh ahli kumpulan kongsi gelap di hadapan sebuah kedai makan di Pekan Nanas, Pontian pada 21 Mei lalu merupakan seorang individu yang baik hati dan penyeri kepada seramai lebih 10 ahli keluarganya.
Sepupu mangsa, K. Shantiya, 26, berkata, mereka sekeluarga masih sukar menerima hakikat pemergian mengejut mangsa sehingga hari ini, apatah lagi dalam keadaan mengerikan seperti itu.
Katanya, mangsa menghidap penyakit jantung kongenital sejak kecil dan dikenali sebagai seorang individu yang baik hati, berperwatakan lembut dan tidak gemar bergaduh.
“Sejak kecil dia seorang yang baik hati dan sangat sederhana. Dia tidak pernah mencari masalah atau sengaja mencetuskan pergaduhan. Semua yang mengenalinya tahu dia sentiasa murah dengan senyuman. Walaupun diperlakukan tidak adil, dia lebih rela berdiam diri dan jarang bertengkar dengan orang lain.
“Dia pernah jalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), dan masih menjalani pemeriksaan kesihatan berkala setiap tahun di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru. Keadaan kesihatannya menyebabkan dia tidak dapat bekerja seperti kebanyakan rakan seusianya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya, di sini.
Tambah Shantiya, walaupun kehidupan R. Arun Kumar, 22, atau dikenali sebagai AK Boy lebih mencabar berbanding orang lain tetapi dia tidak pernah mengeluh.
“Sebahagian besar masanya dihabiskan bersama keluarga serta aktif menyertai kumpulan muzik gendang Urumi, yang menjadi minat paling besar dalam hidupnya. Itu adalah waktu yang paling membahagiakan dirinya,” katanya.
Sementara itu, ibu saudara mangsa yang menjaga mangsa sejak kecil, K. Devi, 52, pula memberitahu, mangsa seorang yang sangat menghormati orang lain dan tidak pernah mengeluarkan kata-kata kesat sehingga disenangi ahli keluarga serta jiran tetangga.
“Kalau ada orang bergaduh di rumah, dialah orang pertama yang akan menenangkan keadaan dan meminta semua berhenti bertengkar. Dia paling tidak suka melihat pergaduhan, tetapi akhirnya dia sendiri menjadi mangsa keganasan.
“Dia pernah berkata mahu memiliki sebuah kereta sendiri. Dia juga berharap suatu hari nanti dapat membawa seluruh keluarga bercuti ke Indonesia. Dia ingin membesarkan rumah keluarga supaya lebih selesa, dia juga bercita-cita membuka sebuah pusat mencuci kereta sendiri atau mengusahakan sebuah restoran.
“Tetapi kejadian yang berlaku telah meranapkan impiannya untuk terus aktif dalam bidang kesenian, selain mengejar cita-cita membuka perniagaan sendiri, sama ada kedai cuci kenderaan atau kedai makanan,” katanya.
Sementara itu, tujuh suspek berkaitan kes tersebut telah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 34 KK kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, dan sebatan jika disabit kesalahan.-UTUSAN









