GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini memberi amaran lebih 500 orang dikhuatiri maut susulan laporan mengenai dua insiden bot karam di luar pantai Myanmar sejak akhir Jun lalu.
Dalam satu kenyataan bersama, Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) dan Agensi Pelarian PBB (UNHCR) menyuarakan kebimbangan terhadap laporan dua bot yang membawa lebih 500 penumpang dipercayai karam di perairan Myanmar sejak beberapa hari lalu.
Menurut kenyataan itu, maklumat awal menunjukkan kedua-dua bot berkenaan berlepas dari negeri Rakhine, Myanmar, yang dilanda konflik, pada penghujung Jun, dengan sebahagian besar penumpangnya terdiri daripada etnik Rohingya yang majoritinya beragama Islam.
Sebahagian daripada mereka dilaporkan berlepas dari kem pelarian yang sesak di Cox’s Bazar, Bangladesh, menempatkan lebih sejuta pelarian Rohingya yang melarikan diri dari Rakhine dan hidup dalam keadaan serba kekurangan.
Kenyataan itu memaklumkan sebuah daripada bot berkenaan, yang dipercayai membawa kira-kira 250 penumpang, terputus hubungan sejurus selepas memulakan pelayaran.
Sebuah lagi bot yang dilaporkan membawa kira-kira 280 penumpang pula dipercayai karam di perairan Ayeyarwady, Myanmar, pada 8 Julai lalu.
Menurut kenyataan bersama itu, walaupun insiden berkenaan dan jumlah sebenar mangsa masih belum disahkan secara rasmi, UNHCR dan IOM amat bimbang terhadap kemungkinan berlakunya kehilangan nyawa dalam jumlah yang besar.
Kedua-dua agensi PBB itu turut menegaskan pelayaran berkenaan dilakukan di luar musim pelayaran biasa, iaitu ketika keadaan laut lazimnya lebih berbahaya.
“Taburan hujan lebat dan banjir yang melanda rantau ini sejak kebelakangan ini turut meningkatkan risiko perjalanan melalui laut,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan berkenaan turut memaklumkan sekiranya insiden itu disahkan, tragedi tersebut akan menambah kepada hampir 300 individu yang dilaporkan hilang atau terkorban di Laut Andaman dan Teluk Benggala sepanjang tahun ini, termasuk pelarian Rohingya dan warga Bangladesh.
Menurut UNHCR, hampir 900 pelarian Rohingya dilaporkan hilang atau terkorban di laut di utara Lautan Hindi sepanjang tahun lalu, daripada lebih 6,500 orang yang cuba menyeberangi laut melalui laluan berisiko tinggi itu.
Kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Khamis itu menegaskan tragedi terbaharu yang dilaporkan mencerminkan kesan buruk konflik berpanjangan dan perpindahan paksa, selain kegagalan menyediakan penyelesaian mampan kepada komuniti Rohingya.
Menurut kedua-dua agensi PBB itu, konflik yang semakin memuncak serta kemerosotan keadaan kemanusiaan di Myanmar, di samping bantuan dan peluang yang terhad di kem pelarian di Bangladesh, mendorong lebih ramai individu mempertaruhkan nyawa dengan melakukan perjalanan laut yang berbahaya demi mencari perlindungan dan keselamatan.
Mereka turut menegaskan insiden berkenaan sekali lagi menyerlahkan ancaman berterusan daripada sindiket penyeludupan dan pemerdagangan manusia yang terus mengambil kesempatan terhadap golongan terdesak yang mencari perlindungan.- AFP










