Ketua pembangkang India ditahan selepas gesa Modi letak jawatan

Ketua pembangkang India ditahan selepas gesa Modi letak jawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Polis India menahan Ketua Pembangkang, Rahul Gandhi, ketika beliau menyertai protes yang dipimpin golongan belia di ibu negara bagi menuntut reformasi pendidikan, selepas menggesa Perdana Menteri, Narendra Modi, meletakkan jawatan.

New Delhi menyaksikan hari kedua demonstrasi yang diterajui gerakan ‘lipas’, yang menuntut pembaharuan sistem pendidikan serta peletakan jawatan Menteri Pendidikan susulan siri skandal peperiksaan yang berulang.

Ribuan penunjuk perasaan menyertai demonstrasi itu, dengan perarakan pada Isnin berakhir dengan pertembungan ganas antara peserta protes dan polis.

Gandhi, yang juga pemimpin Parti Kongres, berkata Modi perlu meletakkan jawatan kerana didakwa memusnahkan masa depan belia India, sebelum mengadakan bantahan secara duduk di luar kediaman rasmi perdana menteri.

“Kerajaan tidak mahu mengambil sebarang tanggungjawab, malah enggan membahaskan isu ini di Parlimen,” katanya.

Rakaman video AFP menunjukkan Gandhi bersama beberapa ahli Parlimen pembangkang dipaksa menaiki sebuah bas oleh polis sebelum dibawa keluar dari lokasi protes.

Polis, termasuk anggota yang memakai kelengkapan perisai badan, dilihat mengangkat Rahul Gandhi dengan memegang kedua-dua tangan dan kakinya sebelum membawanya merentasi orang ramai ke sebuah bas yang berhampiran.

Keadaan menjadi kecoh apabila kumpulan penunjuk perasaan dilihat cuba menaiki bas itu sebelum dan ketika ia bergerak meninggalkan lokasi.

Gandhi kemudian memuat naik gambar detik beliau dibawa secara paksa oleh pasukan keselamatan di media sosial dan menegaskan demonstrasi itu akan diteruskan.

Modi setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung protes berkenaan.

Pada Isnin, ribuan penunjuk perasaan membanjiri jalan-jalan di New Delhi bagi menuntut peletakan jawatan Pradhan selepas menyahut seruan gerakan dalam talian Parti Lipas Janta (CJP).

Penunjuk perasaan membaling batu ke arah pasukan keselamatan selepas polis melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan belantan untuk menyuraikan orang ramai, dalam demonstrasi terbesar di ibu negara itu dalam tempoh lima tahun.

Menurut polis, seramai 60 orang awam cedera, manakala 118 anggota polis turut mengalami kecederaan.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN