PETALING JAYA: Kereta dipandu seorang lelaki terbabas lalu terjunam ke dalam Sungai Langat berhampiran Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua, Hulu Langat dekat sini malam tadi.
Maklumat berhubung kejadian diterima polis kira-kira pukul 9.13 malam yang mana mangsa dipercayai cuba mengelak haiwan melintas jalan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 56 tahun memandu dari Sungai Congkak menghala ke Nilai.
“Ketika melalui Jalan Hulu Langat, mangsa mendakwa terlihat satu objek dipercayai haiwan melintas dari arah kiri ke kanan jalan.
“Tindakannya mengelak objek tersebut menyebabkan dia hilang kawalan sebelum kenderaan terbabas dan terjatuh ke dalam Sungai Langat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Insiden itu hanya mengakibatkan kerosakan pada kenderaan dan tidak melibatkan kemalangan dengan kenderaan lain atau kerosakan harta benda awam,” ujarnya.
Beliau berkata, susulan dua kejadian seumpama itu dilaporkan di kawasan berkenaan, pengguna jalan raya dinasihatkan lebih berwaspada ketika melalui laluan itu.
“Jika terlihat haiwan atau sebarang halangan di atas jalan, pemandu hendaklah memperlahankan kenderaan secara berperingkat dan mengelakkan tindakan mengelak secara mengejut kerana ia boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan,” katanya. – UTUSAN










