Kenaikan harga minyak: Kerajaan peroleh RM300 juta

Kenaikan harga minyak: Kerajaan peroleh RM300 juta

LIEW CHIN TONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan dianggarkan memperoleh tambahan hasil sekitar RM300 juta bagi setiap kenaikan AS$1 (RM4.10) setong harga minyak mentah dunia.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, kenaikan harga minyak mentah dunia bukan sahaja meningkatkan perbelanjaan subsidi bahan api, malah turut menyumbang kepada pertambahan hasil berkaitan petroleum kerajaan.

Justeru katanya, peningkatan hasil itu membantu kerajaan mengimbangi sebahagian tekanan terhadap perbelanjaan subsidi, selain memastikan kedudukan fiskal negara terus kekal terurus.

“Walaupun kenaikan harga minyak meningkatkan perbelanjaan subsidi, ia juga menyumbang kepada peningkatan hasil berkaitan petroleum. Setiap perubahan harga minyak mentah dunia dianggarkan memberi impak kepada hasil berkaitan petroleum Kerajaan Persekutuan tidak termasuk dividen Petroliam Nasional Berhad (Petronas). 

“Kerajaan juga membuat pemantauan prestasi kutipan hasil secara berkala bagi memastikan jumlah hasil dapat terus menampung keperluan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan tanpa menjejaskan kedudukan fiskal negara dengan ketara,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar mengenai implikasi kewangan kepada kerajaan  susulan keputusan menetapkan harga diesel pada kadar RM2.10 seliter di seluruh negara bermula Julai 2026 termasuk anggaran tambahan subsidi yang perlu ditanggung, sumber pembiayaan digunakan serta kesannya terhadap sasaran defisit fiskal negara.

Mengulas lanjut, Chin Tong berkata, kerajaan menjangkakan komitmen terhadap subsidi produk petroleum kekal tinggi sepanjang tahun ini sekiranya harga pasaran semasa tidak berubah.

Katanya, unjuran itu masih bergantung kepada beberapa faktor termasuk pergerakan harga minyak mentah dunia, kadar pertukaran mata wang dan corak penggunaan sebenar.

“Kerajaan telah menanggung subsidi hampir RM800 juta sebulan bagi RON95 dan diesel pada Januari dan Februari 2026, sebelum melonjak kepada sekitar RM5 bilion sebulan pada Mac dan April 2026. Subsidi pada bulan Mei dan Jun 2026 pula menyederhana kepada sekitar RM4 bilion.

“Sekiranya harga pasaran semasa ini kekal, kerajaan dijangka akan menanggung jumlah subsidi produk petroleum hampir RM40 bilion bagi 2026 tertakluk kepada pergerakan harga minyak mentah dunia, kadar pertukaran mata wang dan corak penggunaan sebenar.

“Tanggungan subsidi adalah merupakan butiran perbelanjaan di bawah Belanja Mengurus (OE) di mana sumber pembiayaannya adalah dari sumber hasil kerajaan yang terdiri daripada hasil cukai, hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN