KUWAIT CITY: Kuwait mendakwa Iran melancarkan serangan baharu terhadap kemudahan tenaga dan air negara itu hari ini, menyebabkan beberapa unit penjanaan elektrik terpaksa dihentikan operasi, sehari selepas serangan pertama ke atas fasiliti sama.
Kementerian Elektrik dan Air Kuwait memaklumkan sebuah lagi loji elektrik dan penyahgaraman air menjadi sasaran serangan yang mencetuskan kebakaran pada salah satu komponen kemudahan berkenaan.
Serangan itu merupakan yang kedua dalam tempoh dua hari, selepas serangan pada Jumaat menyebabkan kebakaran dan kerosakan pada sebuah loji tenaga dan air.
Pasukan bomba Kuwait berkata serangan pada Sabtu mencetuskan kebakaran di dua lokasi, dengan beberapa anggota bomba serta seorang pekerja dilaporkan cedera.
Sementara itu, syarikat penerbangan nasional Kuwait memaklumkan kebanyakan penerbangannya dijadualkan semula selepas operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait digantung sementara susulan serangan roket dan dron.
Di Bahrain, tentera negara itu berkata sistem pertahanan udaranya berjaya memintas gelombang serangan Iran, selepas penduduk di Manama melaporkan terdengar beberapa letupan berikutan bunyi siren amaran.
“Sistem pertahanan udara berjaya menangkis serangan dan memintas serta memusnahkan beberapa serangan udara Iran,” menurut kenyataan tentera Bahrain.
Kementerian Dalam Negeri Bahrain berkata siren amaran udara dibunyikan lima kali sejak subuh, sambil menggesa penduduk berlindung di tempat selamat.
Terdahulu, penyiar kerajaan Iran melaporkan tentera negara itu menyasarkan Pangkalan Udara Sheikh Isa di Bahrain yang digunakan oleh tentera AS sebagai tindak balas terhadap serangan Washington.
Tentera Iran mendakwa serangan dron itu menyasarkan kemudahan perlindungan pesawat, kawasan parkir, tangki simpanan bahan api tentera AS serta beberapa jambatan penghubung di Bahrain.- AFP










