JEDDAH: Anthony Joshua membuktikan semangat juangnya masih utuh apabila bangkit daripada dua knockdown sebelum menumbangkan Kristian Prenga menerusi kemenangan knockout (KO) pada pusingan kedua, sekali gus menghidupkan semula impian pertarungan sensasi menentang Tyson Fury, November ini.
Aksi di Jeddah Superdome itu adalah penampilan pertama bekas juara dunia heavyweight dua kali berkenaan sejak terbabit dalam kemalangan jalan raya di Nigeria pada Disember lalu yang mengorbankan dua sahabat rapatnya, Sina Ghami dan Latif Ayodele.
Petinju berusia 36 tahun itu gagal menahan sebak ketika ditanya mengenai tragedi yang menghantui hidupnya sepanjang tujuh bulan lalu, namun menyifatkan kebangkitannya dalam pertarungan itu lahir daripada semangat dua insan yang telah pergi.
“Itu adalah semangat mereka, itu adalah Latz, itu adalah Sina. Itu adalah keluarga,” katanya.
Joshua yang kini memiliki rekod 30 kemenangan dan empat kekalahan, termasuk 27 menerusi KO, bagaimanapun hampir dikejutkan apabila Prenga menjatuhkannya dengan pukulan uppercut kanan seawal 20 saat pertarungan bermula sebelum sekali lagi tumbang pada penghujung pusingan pertama.
Namun, bekas juara dunia itu bangkit menguasai pusingan kedua apabila berjaya mengasak Prenga ke penjuru gelanggang sebelum melepaskan kombinasi tumbukan padu yang diakhiri dengan pukulan kanan sehingga menghumban lawannya keluar daripada tali gelanggang, sekali gus menoktahkan pertarungan pada minit 2:43.
Kemenangan tersebut membuka laluan kepada pertarungan ‘Battle of Britain’ yang sekian lama dinantikan menentang Fury selepas bekas juara dunia heavyweight dua kali itu turut meraih kemenangan ke atas Mariusz Wach di Pattaya, Thailand, Jumaat lalu, manakala promoter Eddie Hearn mengesahkan kontrak pertarungan berkenaan sudah dimeterai.
“Saya akan hancurkan semangatnya. Saya adalah juara paling ganas dan tiada siapa mampu menghalang saya.
“Namun, di sebalik semua itu, saya tetap menghormati segala yang telah dilakukannya dan semua pencapaiannya. Sebagai seorang petarung, saya sudah lama menantikan pertarungan ini dan kini masanya akhirnya sudah tiba,” katanya. – AGENSI










