Johor sasar tiga terbaik SUKMA Selangor 2026 - Utusan Malaysia

Johor sasar tiga terbaik SUKMA Selangor 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Johor menyasarkan untuk berada dalam kelompok tiga terbaik pada temasya SUKMA 2026 yang dijadual berlangsung di Selangor, Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd. Hairi Mad Shah sehubungan itu berkata, pihaknya berharap atlet serta pegawai terlibat akan berusaha mencapai sasaran berkenaan.

“Saya yakin dan percaya dengan latihan dan kerja keras, atlet kita bersedia untuk memberi cabaran sengit kepada tuan rumah, Wilayah Persekutuan mahupun Sarawak.

“Jadi Insya-Allah Johor akan cuba berada dalam ‘top ranking’, ketiga yang terbaik. Selaku exco belia dan sukan negeri Johor, saya berharap untuk memberikan motivasi kepada atlet-atlet, pegawai dan juga diri sendiri,” katanya kepada pemberita pada majlis ‘clock in’ di Bangunan Dato’ Mohamad Ibrahim Munsyi, di sini hari ini.

Pada SUKMA 2022 di Kuala Lumpur, Johor muncul juara keseluruhan kejohanan buat julung kali dalam sejarah selepas meraih 77 pingat emas.

Tambah Mohd. Hairi, kontinjen Johor akan disertai seramai 686 atlet, iaitu melibatkan hampir 1,000 termasuk pegawai.

“Sasaran pingat kita akan umumkan dalam masa terdekat, iaitu pada majlis penyerahan bendera Kontinjen SUKMA Johor pada 3 Ogos ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas tentang penganjuran acara bola sepak pada Sukan SEA 2027, Mohd. Hairi berkata, segala persiapan termasuklah venue, logistik dan penginapan berjalan lancar.

“Saya mahu pastikan penganjuran acara bola sepak pada temasya itu menjadi satu kenangan indah buat semua pihak terlibat, khususnya atlet-atlet yang datang dari seluruh negara Asia Tenggara.

“Daripada segi fasiliti sukan, semua pihak terlibat akan melakukan koordinasi supaya tiada sebarang aduan berbangkit termasuk penginapan, say mahu acara itu jadi kenangan indah untuk mereka dan negeri Johor,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN