TEBING BARAT: Kabinet Keselamatan Israel meluluskan rancangan untuk menubuhkan 13 penempatan haram baharu di Tebing Barat yang diduduki.
Pegawai Palestin menyifatkan langkah itu akan terus memecahkan wilayah serta mengasingkan Baitulmuqaddis Timur daripada komuniti Palestin di sekitarnya.
Saluran 7 Israel melaporkan, Kabinet meluluskan pembinaan penempatan haram tersebut kelmarin di kawasan wilayah Benyamin, satu blok penempatan terbesar di Tebing Barat yang diduduki.
Ia terletak di sepanjang Laluan 60, iaitu jalan utama utara-selatan yang merentasi Tebing Barat dan menghubungkan bandar-bandar Palestin termasuk Nablus, Ramallah dan Bethlehem, sambil turut menghubungkan penempatan besar Israel.
Fasa pertama dijangka bermula dalam beberapa bulan akan datang dan akan merangkumi penubuhan empat hingga enam penempatan baharu, dengan sokongan pelaburan bernilai jutaan shekel, menurut wilayah Baitulmuqaddis Palestin.
Beberapa pos pastoral sedia ada juga dijangka akan disahkan secara rasmi, sekali gus membolehkan ia menerima pembiayaan kerajaan serta pembangunan infrastruktur, tambah pihak berkenaan.
Pelan itu memberi tumpuan kepada dua koridor utama: kawasan barat laut Baitulmaqdis dan barat Ramallah di sepanjang Laluan 60, serta kawasan yang memanjang ke arah timur menuju Lembah Jordan.
Wilayah Baitulmuqaddis berkata, pelan tersebut direka untuk menghubungkan blok penempatan, memperkukuh kawalan Israel ke atas kawasan bukit strategik serta mengehadkan kesinambungan wilayah Palestin.
Wilayah itu turut mengaitkan peningkatan aktiviti penempatan dengan pertimbangan politik domestik di Israel, khususnya menjelang pilihan raya Knesset.
Ia menyifatkan langkah berkenaan sebagai ‘peningkatan yang berbahaya’ dan pelanggaran undang-undang antarabangsa, serta menggesa masyarakat antarabangsa untuk campur tangan.
Kelulusan itu dibuat ketika berlakunya peningkatan luar biasa dalam aktiviti penempatan Israel.
Data baharu daripada Forum Palestin untuk Kajian Israel (MADAR) menunjukkan jumlah pos penempatan baharu meningkat mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Selepas mencatat purata kira-kira lapan pos setahun antara 2012 hingga 2022, angka itu melonjak kepada 32 pada 2023, kemudian 62 pada 2024, dan mencapai 86 pada 2025.
Peluasan ini dipermudah oleh pembiayaan besar kerajaan, apabila ia memperuntukkan 28 juta shekel (RM30.5 juta) untuk pos penempatan pada 2023 dan 75 juta shekel (RM81 juta) pada 2024, dengan rancangan untuk membiayai keseluruhan 70 pos penempatan.- AL JAZEERA










