England raih tempat ketiga, benam Perancis 6-4

England raih tempat ketiga, benam Perancis 6-4

PEMAIN England bergambar bersama pingat tempat ketiga selepas menewaskan Perancis 6-4 dalam aksi penentuan tempat ketiga Piala Dunia 2026 di Stadium Miami, sekali gus menamatkan kempen mereka dengan bergaya. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIAMI: England menamatkan kempen Piala Dunia 2026 dengan penuh bergaya apabila membelasah Perancis 6-4 dalam aksi penentuan tempat ketiga, sekali gus menghadiahkan penamat positif buat skuad kendalian Thomas Tuchel.

Kemenangan itu sekurang-kurangnya mengubat kekecewaan Three Lions yang gagal melangkah ke final selepas tewas 1-2 kepada Argentina di separuh akhir, manakala Perancis pula pulang tanpa sebarang pingat selepas turut tersungkur kepada Sepanyol.

England terus menguasai permainan sejak sepak mula apabila Declan Rice membuka jaringan sebelum Ezri Konsa menggandakan kelebihan. Bukayo Saka kemudian mencuri perhatian dengan dua gol untuk membolehkan England mendahului selesa 4-0 ketika rehat.

Perancis cuba menghidupkan peluang pada babak kedua menerusi dua jaringan Kylian Mbappe dan satu gol Bradley Barcola, namun kebangkitan Les Bleus tidak cukup untuk mengubah keputusan perlawanan.

Saka melengkapkan hatrik menerusi sepakan penalti pada minit ke-87, sebelum Ousmane Dembele menambah gol keempat Perancis pada masa kecederaan. Jude Bellingham kemudian menoktahkan kemenangan England dengan jaringan keenam untuk melengkapkan pesta gol di Miami.

Walaupun tewas, Mbappe tetap menjadi tumpuan apabila meledak dua gol bagi menjadikan jumlah keseluruhan jaringannya pada Piala Dunia 2026 kepada 10 gol, sekali gus mengesahkan gelaran Kasut Emas kejohanan.

Lebih manis, penyerang berusia 27 tahun itu turut mencipta sejarah apabila mengumpul 22 gol sepanjang penampilan di Piala Dunia, memintas Lionel Messi sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman kejohanan berprestij itu.

Mbappe kini meninggalkan Messi dengan kelebihan dua gol dalam carta penjaring edisi 2026, namun bintang Argentina itu masih berpeluang menambah jaringan apabila mengetuai juara bertahan itu menentang Sepanyol dalam aksi final awal pagi esok.

Dalam perkembangan lain, pemain sayap Perancis, Michael Olise turut mengukir nama dalam sejarah apabila mencatat tujuh bantuan gol sepanjang kejohanan, memadam rekod enam bantuan gol yang dipegang legenda Brazil, Pele sejak edisi 1970.

Kekalahan itu turut menandakan berakhirnya era Didier Deschamps bersama Perancis selepas 14 tahun membimbing Les Bleus, dengan bekas juara dunia itu menamatkan khidmatnya selepas mengendalikan pasukan dalam 185 perlawanan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN