MIAMI: Thomas Tuchel yakin kemenangan dramatik England ke atas Perancis dalam aksi penentuan tempat ketiga Piala Dunia 2026 menjadi petanda The Three Lions kini mampu menyaingi kuasa-kuasa besar bola sepak dunia.
Dalam perlawanan yang menyajikan pesta 10 gol di Stadium Hard Rock, semalam, England menewaskan Perancis 6-4 dengan Bukayo Saka muncul wira apabila meledak hatrik, untuk memastikan skuad kendalian Tuchel menamatkan kempen di Amerika Utara dengan kedudukan podium.
Kemenangan itu hadir hanya beberapa hari selepas England dikecewakan Argentina 1-2 pada separuh akhir, kekalahan yang masih meninggalkan kesan mendalam kepada Tuchel dan anak-anak buahnya.
Malah, sebelum perlawanan menentang Perancis, pengendali dari Jerman itu secara terbuka mengakui England masih mempunyai jurang untuk ditutup jika mahu berdiri sebaris dengan Argentina, Sepanyol dan Perancis yang dianggap antara kuasa dominan dunia ketika ini.
Namun, kemenangan ke atas Les Bleus memberi keyakinan baharu kepada bekas pengurus Chelsea dan Bayern Munich itu bahawa England sedang bergerak ke arah yang betul.
“Kami mempunyai keupayaan untuk merapatkan jurang itu, tetapi mereka juga mempunyai kemampuan untuk melebarkannya semula. Lapan tahun lalu mereka adalah juara dunia. Empat tahun lalu mereka beraksi di final. Memang masih ada sedikit jurang, tetapi tiada masalah. Kami mahu menutupnya,” kata Tuchel.
Menurutnya, kejayaan menundukkan pasukan yang memiliki rekod cemerlang di pentas dunia seperti Perancis membuktikan England kini semakin hampir mencapai standard yang diperlukan untuk bersaing merebut kejuaraan utama.
“Saya katakan kelmarin, hari ini (semalam) adalah langkah pertama untuk menutup jurang itu. Kami berjaya melakukannya. Kami menewaskan mereka. Cabaran seterusnya adalah menentang Sepanyol dalam Liga Negara-Negara UEFA,” ujarnya.
Dalam perlawanan penuh mendebarkan itu, Saka mencuri tumpuan menerusi hatrik yang mengukuhkan statusnya sebagai antara pemain paling berpengaruh England, manakala Kylian Mbappe turut mencipta sejarah apabila menjaringkan dua gol untuk muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam sejarah Piala Dunia.
Tuchel turut memuji semangat juang anak buahnya yang bangkit daripada kekecewaan kekalahan kepada Argentina untuk menampilkan aksi penuh karakter dan keberanian ketika berdepan Perancis.
“Melihat pasukan berjuang seperti ini memberikan tenaga kepada anda. Keletihan akan dirasai selepas ini.
“Kami masih akan merasai kekecewaan apabila final berlangsung esok. Ia akan mengambil sedikit masa untuk melupakannya, tetapi secara keseluruhan ia memberi saya lebih banyak tenaga,” katanya.
Walaupun gagal menamatkan kemarau kejuaraan Piala Dunia England yang berlanjutan sejak 1966, pencapaian tempat ketiga tetap memberi petanda positif era baharu di bawah Tuchel sedang menuju ke arah yang menjanjikan kejayaan lebih cemerlang.-AGENSI










