BEIJING: China menolak dakwaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, kononnya Beijing campur tangan dalam pilihan raya negara itu.
Jurucakap Kementerian Luar, Lin Jian, menyifatkan tuduhan AS itu tidak mempunyai asas fakta dan bertujuan memburukkan China.
Trump pada Jumaat mendakwa, sejak kitaran pilihan raya 2020, China memperoleh 220 juta rekod pengundi AS, yang disifatkannya sebagai kompromi terbesar terhadap data pilihan raya dalam sejarah.
Dalam ucapan waktu perdana kepada rakyat, Trump mengumumkan penyahklasifikasian maklumat risikan yang menurutnya menunjukkan campur tangan asing secara meluas serta kelemahan serius dalam sistem pilihan raya AS.
Bagaimanapun, Lin berkata dakwaan seumpama itu ‘telah lama terbukti tidak berasas’.
“China berpegang kepada prinsip tidak campur tangan dalam urusan dalaman negara lain. China tidak berminat untuk campur tangan dalam pilihan raya AS dan tidak pernah berbuat demikian,” katanya kepada pemberita di Beijing hari ini.
Sebaliknya, Lin mempersoalkan siapa yang secara sewenang-wenangnya mencampuri urusan dalaman negara lain, melakukan pengawasan tanpa batas terhadap kerajaan, syarikat dan orang awam di seluruh dunia untuk tempoh yang panjang, serta menjejaskan data rakyat negara lain dalam skala besar.
AS dijadual mengadakan pilihan raya pertengahan penggal pada November tahun ini.
Dengan memetik laporan Agensi Perisikan Pusat (CIA), Trump mendakwa pada pertengahan 2018, ketika beliau masih memegang jawatan dalam penggal pertama, dasar Parti Komunis China adalah untuk menggunakan semua elemen domestik dan asing yang menentangnya dalam usaha mengurangkan jumlah undi yang diperolehnya pada pilihan raya 2020, memaksanya berundur atau menghalang pemilihan semulanya.- ANADOLU










