Bomba Johor mula gempur rumah kedai dijadikan bilik sewa haram - Utusan Malaysia

Bomba Johor mula gempur rumah kedai dijadikan bilik sewa haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor akan menggempur pemilik premis rumah kedai yang mengaut keuntungan tanpa mengambil kira aspek keselamatan dengan menjadikan premis rumah kedai sebagai bilik sewa sempit, atau dipanggil ‘sarang burung’.

Pengarah JBPM Johor, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Siti Rohani Nadir berkata, operasi penguatkuasaan itu akan dilaksana secara bersepadu dengan kerjasama polis dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Katanya, pemeriksaan awal pihaknya mendapati ada tingkat rumah kedai yang diubahsuai sehingga menjadi 15 bilik sewa yang hanya berkeluasan sekitar sembilan hingga 12 meter persegi.

“Temubual dengan penghuni mendapati bilik sewa berkenaan disewa dengan harga antara 350 hingga RM500 seunit, berbeza mengikut saiz dan keluasan bilik sewa berkenaan. Ada bangunan rumah kedai yang mana tingkat dua dan tingkat tiga telah diubahsuai sedemikian.

“Ini secara tidak langsung mengundang risiko bahaya, apabila ubahsuai tersebut tidak mendapat kelulusan kerana tidak mematuhi pelbagai aspek keselamatan antaranya kurang pencahayaan, laluan sempit, tiada akses laluan keselamatan dan lain-lain,” katanya semasa mengetuai Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Premis Penginapan Padat (Rumah Sarang Burung) di Larkin, di sini hari ini.

Tambah Siti Rohani, tujuan operasi tersebut dilaksana adalah sebagai langkah proaktif bagi memastikan premis yang diubah suai tanpa kelulusan mematuhi keperluan keselamatan kebakaran serta tidak mengancam keselamatan penghuni.

“Hari ini, kita menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan di sembilan lokasi sekitar kawasan pentadbiran MBJB. Bagi setiap kesalahan satu notis akan diberikan, penguatkuasa pihak bomba dibuat mengikut Seksyen 8 dan Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

“Ini merupakan operasi penguatkuasaan pertama yang kita lakukan tahun ini melibatkan premis sedemikian. Kita akan terus laksanakan penguatkuasaan ini secara berkala pada masa depan,” katanya.

Menurut beliau lagi, pemilik premis akan diberikan tempoh sehingga enam bulan untuk mengemukakan pelan pengubahsuaian bagi mendapatkan kelulusan pihak berkuasa terlibat sekiranya mahu terus menyediakan perkhidmatan itu.

“Sekiranya gagal berbuat, tindakan mahkamah akan diambil kepada pemilik premis,” katanya.

Sementara itu, seorang penghuni, wanita berusia 52 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Dina berkata, dia menetap di bilik sewa tersebut sejak dua tahun lalu selepas berpisah dengan bekas suaminya.

“Saya tinggal sendiri di sini, dan menyewa bilik dengan harga RM500. Gaji yang diperoleh sekitar RM2,000 tidak mencukupi untuk mendapatkan kediaman yang lebih baik, apatah lagi dengan kenaikan harga barang-barang.

“Saya mempunyai dua anak yang menetap di asrama, serta tiga lagi yang sudah berkahwin. Jika saya bertemu dengan mereka, kami akan berjumpa di luar iaitu tempat yang lebih selesa,” katanya yang berkhidmat sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Ibu tunggal itu turut meminta maaf kerana terpaksa menyewa bilik penginapan sedemikian kerana pendapatan sedia ada tidak mengizinkan dirinya untuk menyewa di kawasan lain yang lebih tinggi harganya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN