Bayi baharu lahir disahkan maut akibat ditikam bertubi-tubi - Utusan Malaysia

Bayi baharu lahir disahkan maut akibat ditikam bertubi-tubi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis Johor mengesahkan kematian bayi perempuan yang baharu dilahirkan seorang pelajar kolej berusia 19 tahun di Taman Setia Mutiara, Kluang, semalam adalah disebabkan tikaman senjata tajam bertubi-tubi di bahagian dadanya.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, perkara itu disahkan pakar patologi yang menjalankan pemeriksaan forensik terhadap bayi perempuan berkenaan.

Sehubungan itu katanya, polis merampas sebilah pisau berukuran 24 sentimeter (cm) panjang dan pakaian yang mempunyai kesan darah.

“Mangsa ditemukan seorang guru yang pergi ke rumah suspek setelah dimaklumkan wanita tempatan berkenaan telah melahirkan seorang bayi dalam rumah yang dijadikan sebagai asrama.

“Mangsa merupakan seorang bayi perempuan yang baharu dilahirkan. Mangsa telah ditemui dalam mangkuk tandas bilik tidur utama dengan beberapa kesan tikaman di bahagian dada,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Ab. Rahaman, perkara itu terbongkar selepas suspek dibawa ke hospital oleh guru bertugas sebelum pemeriksaan kesihatan dibuat mendapati dia baharu melahirkan seorang bayi dan terdapat seorang lagi bayi di dalam kandungannya.

“Siasatan lanjut mendedahkan bahawa kedua-dua bayi berkenaan hasil hubungan seks yang dilakukan pelajar perempuan tersebut dengan teman lelakinya sejak beberapa bulan lalu.

“Bertindak atas maklumat, teman lelaki suspek yang berusia 19 tahun ditahan kira-kira pukul 10.30 malam tadi di sekitar kawasan Kluang bagi membantu siasatan, manakala pelajar perempuan dirawat di hospital setelah selamat melahirkan seorang lagi bayi perempuan,” katanya.

Beliau turut memberitahu, lelaki berkenaan telah memberi teman wanitanya wang sebanyak RM450 untuk menggugurkan kandungan berkenaan.

“Suspek lelaki itu kini ditahan reman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 315 Kanun Keseksaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN