JOHOR BAHRU: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah agar kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menjalankan siasatan secara terperinci berhubung isu Network School di Forest City.
Baginda bertitah, tindakan tegas termasuk membatalkan lesen atau permit operasi syarikat berkenaan di Johor perlu diambil sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang, syarat lesen atau peraturan.
“Berhubung isu melibatkan Network School di Forest City baru-baru ini, sebarang perkara berkaitan kemasukan warga asing ke negara ini adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Walau bagaimanapun, kerajaan negeri Johor dan PBT akan menjalankan siasatan terperinci. Sekiranya berlaku sebarang pelanggaran undang-undang, syarat lesen atau peraturan, tindakan tegas akan diambil termasuk membatalkan lesen atau permit operasi syarikat berkenaan di Johor,” titah baginda dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya menggesa kerajaan Persekutuan memberi keputusan yang segera, jelas dan muktamad berhubung status individu terlibat serta operasi Network School berkenaan.
Katanya, isu melibatkan Network School khususnya perkara berkaitan kemasukan warga asing ke negara ini adalah tertakluk di bawah bidang kuasa KDN.
“Dalam bidang kuasa negeri, Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) sudah mengambil tindakan penguatkuasaan berdasarkan bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.
“MBIP telah melaksanakan semakan terhadap pematuhan lesen perniagaan, penggunaan premis perniagaan serta pematuhan terhadap syarat-syarat papan iklan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati syarikat terbabit beroperasi di dua premis, dimana satu premis mempunyai lesen pejabat urusan yang sah, manakala satu lagi premis didapati beroperasi tanpa lesen perniagaan MBIP walaupun dimiliki seorang warganegara tempatan.
“Pihak syarikat juga didapati sudah melanggar jenis perniagaan yang dibenarkan iaitu pejabat urusan dan menggunakannya sebagai ruang kelas serta promosi perniagaan yang tidak dikemukan permohonan secara terperinci.
“Sehubungan itu, MBIP sudah mengambil tindakan penguatkuasaan seperti mengeluarkan notis henti niaga dan notis lesen iklan kerana mempamerkan papan iklan yang tidak mematuhi syarat dan tidak selaras dengan kelulusan yang telah diberikan.
“Sekiranya didapati terdapat pelanggaran undang-undang, syarat lesen atau peraturan yang berkuat kuasa, tindakan penguatkuasaan lanjut akan diambil mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.-UTUSAN









