Antonelli terus gegar Spa

Antonelli terus gegar Spa

Kimi Antonelli. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SPA-FRANCORCHAMPS: Pendahulu kejuaraan Formula Satu (F1), Kimi Antonelli terus membuktikan statusnya sebagai pencabar utama musim ini apabila meraih petak utama Grand Prix (GP) Belgium selepas mengetepikan juara dunia empat kali, Max Verstappen dalam sesi kelayakan, hari ini.

Pelumba Mercedes berusia 19 tahun itu mencatat masa terpantas satu minit 44.361 saat pada saat-saat terakhir sesi kelayakan untuk mengatasi Verstappen dengan kelebihan 0.317 saat, sekali gus menghadiahkan petak utama keenam buat dirinya musim ini dan meneruskan rekod cemerlang Mercedes yang menguasai 10 petak utama berturut-turut.

“Jom, ayuh! Jom!,” jerit Antonelli menerusi radio pasukan sebaik melengkapkan pusingan terpantasnya.

“Selamat hari jadi, ayah,” tambah pelumba Itali itu kepada bapanya, Marco, yang menyambut ulang tahun kelahiran pada hari perlumbaan tersebut, sebelum mengakui dia berpuas hati dengan aksi dipamerkannya.

Antonelli berkata pusingan terakhirnya berjalan hampir sempurna, namun sedar cabaran sebenar hanya akan bermula pada perlumbaan esok dengan Verstappen bakal memulakan saingan di petak hadapan bersamanya.

“Pusingan terakhir itu memang bagus. Ia satu pusingan yang sangat bersih, jadi saya benar-benar gembira.

“Esok adalah hari yang berbeza. Dengan Max bermula di sebelah saya, amat penting untuk melakukan permulaan yang baik dan kekal di hadapan ketika memasuki Selekoh 5,” katanya.

George Russell melengkapkan penguasaan Mercedes di tempat keempat di depan Charles Leclerc (Ferrari), Lewis Hamilton (Ferrari) dan Oscar Piastri (McLaren), manakala Verstappen mengakui kedudukannya di barisan hadapan banyak dibantu rakan sepasukan, Isack Hadjar yang memberikan kesan ‘tow’ menerusi aliran angin ketika sesi kelayakan, sambil menyifatkan tanpa bantuan itu dia mungkin sekadar menamatkan sesi di kedudukan keenam. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN