KUALA LUMPUR: Pemain muda sedang meningkat naik, Low Zi Yu meletakkan sasaran tinggi memburu dua pingat emas pada Kejohanan Badminton Remaja Asia (AJC) 2026 meskipun bakal turun dengan gandingan baharu dalam dua acara yang bakal disertainya nanti.
Zi Yu berkata, dia akan menyertai acara beregu wanita serta campuran dan berjanji akan tetap memberikan tentangan sengit walaupun bergandingan dengan pasangan baharu untuk edisi kali ini.
“Mestilah saya hendak berjuang bagi memburu pingat emas. Kalau boleh saya mahu dua emas.
“Dalam acara beregu wanita saya akan berpasangan dengan Genevie Lim dan untuk beregu campuran bersama Ahmad Redzuan,” katanya kepada pemberita sebelum berangkat ke Yatsushiro, Jepun, hari ini, bagi menyertai AJC yang bermula 26 Jun-5 Julai ini.
Ketika ditanya mengenai keserasian beraksi bersama Genevie, menurut Zi Yu, sukar untuk menilai tahap sebenar kombinasi dengan rakan gandingannya itu, melainkan terpaksa menunggu sewaktu turun beraksi di gelanggang kompetitif.
“AJC merupakan kejohanan besar dan sayapun baru tukar pasangan. Jadi, kejohanan ini kami gunakan untuk mencuba gandingan itu.
“Saya belum tahu macam mana prestasi nanti, tetapi kami akan cuba beri yang terbaik demi negara,” katanya yang berpasangan dengan Noraqilah Maisarah Ramdan di peringkat senior.
Jelas pemain berusia 15 tahun itu, pengalaman menjalani latihan bersama belum cukup untuk menggambarkan kemampuan sebenar mereka.
“Dalam latihan memang rasa okay, tetapi suasana pertandingan sebenar tak sama. Kena masuk kejohanan baru boleh nampak keserasian itu macam mana,” ujarnya.
Dalam acara beregu campuran pula, Zi Yu optimis dengan gandingannya bersama Ahmad Redzuan yang disifatkan semakin menunjukkan perkembangan positif.
Katanya lagi, dia percaya pengalaman beraksi dalam beberapa kejohanan Jelajah Dunia BWF menjadi bekalan penting untuk menghadapi saingan AJC kali ini. – UTUSAN










