Runtuhan sisa lombong ragut lima nyawa di Myanmar

Runtuhan sisa lombong ragut lima nyawa di Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Lima individu maut manakala kira-kira 15 lagi dipercayai masih tertimbus selepas timbunan sisa lombong runtuh akibat hujan monsun di sebuah lombong jed terbiar di Myanmar, menurut media kerajaan pada Isnin.

Kejadian berlaku ketika mangsa sedang mencari serpihan batu jed di kawasan lombong berkenaan.

Myanmar mempunyai industri perlombongan jed yang sebahagian besarnya tidak dikawal selia, dengan negeri Kachin di utara negara itu menjadi pengeluar batu jedit terbesar dunia, yang mendapat permintaan tinggi terutama di China.

Banyak lombong di kawasan itu dikuasai kumpulan bersenjata yang terbabit dalam perang saudara selepas rampasan kuasa 2021, dengan hasil perlombongan digunakan untuk membiayai operasi mereka, manakala penduduk tempatan yang miskin bergantung kepada aktiviti mencari sisa batu jed untuk meneruskan kehidupan.

Menurut media kerajaan, kira-kira 20 pencari batu jed bebas yang sedang mencari sisa batu jed di bawah cahaya lampu limpah tertimbus apabila timbunan sisa lombong tiba-tiba runtuh lewat malam 28 Jun di pekan Hpakant, negeri Kachin.

Akhbar The Global New Light of Myanmar melaporkan runtuhan itu berlaku selepas hujan lebat selama beberapa hari menyebabkan timbunan sisa lombong lama menjadi tidak stabil.

“Sekurang-kurangnya lima orang disahkan maut, manakala kira-kira 15 lagi masih hilang,” menurut laporan itu.

Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan bagi mengesan mangsa yang dipercayai masih tertimbus.

Kemalangan yang mengorbankan ramai mangsa kerap berlaku di kawasan perlombongan Myanmar, terutama ketika musim monsun apabila hujan menyebabkan tapak lombong yang mempunyai terowong tidak selamat atau timbunan sisa perlombongan menjadi tidak stabil.

Golongan yang mencari serpihan batu jed daripada sisa buangan perlombongan merupakan kelompok paling bawahan dalam industri yang sangat menguntungkan itu.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Hpakant turut menyaksikan pertempuran sengit antara tentera Myanmar dan kumpulan penentang yang bersaing untuk menguasai operasi perlombongan jed di kawasan berkenaan.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN