PRN Johor: Ramanan kecam libatkan institusi Diraja dalam percaturan politik - Utusan Malaysia

PRN Johor: Ramanan kecam libatkan institusi Diraja dalam percaturan politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: PKR mengecam tindakan sesetengah pihak yang melibatkan institusi Diraja dalam percaturan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 sebagai perbuatan tidak berintegriti.

Naib Presidennya, Datuk Seri R. Ramanan berkata, persaingan politik tidak seharusnya mengheret pihak lain untuk berdepan serangan politik sebaliknya bergantung kepada keupayaan dan kemampuan sendiri.

“Bila kita nak lawan, kita kena lawan secara berintegriti. Awak nak lawan, awak kena turun padang lawan, bukan minta orang lain lawan untuk awak. Awak kena lawan sendiri. Itulah seorang pemimpin yang berintegriti. Kalau tak kena lawan pun, minta presiden awak turun lawan.

“Jangan minta orang lain lawan untuk awak. Terutamanya, saya sangat kecewa apabila saya lihat institusi raja-raja digunakan, ia tidak betul,” katanya kepada pemberita selepas Program Karnival Lindung Kerjaya Madani di Setia Convention Hall, di sini hari ini.

Semalam, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam Podcast Bual Santai Bersama Orang Muda Johor bertitah mengingatkan mana-mana pihak agar tidak sewenangnya menghentam kerajaan negeri seolah-olah gagal mentadbir Johor dan bertanggungjawab terhadap rakyat.

Dalam temu bual itu, Tunku Mahkota Ismail turut menzahirkan beberapa isu melibatkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri antaranya membabitkan isu pemulangan hasil kepada negeri Johor.

Sementara itu, Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh turut berasa kecewa dan sedih apabila melihat Pemangku Sultan Johor menjadi sasaran kritikan di media sosial susulan perkembangan politik semasa.

“Sangat tidak betul. Saya katakan di sini, saya kecewa dan sangat sedih apabila saya lihat semalam Pemangku Sultan Johor dihentam kanan dan kiri di media sosial. Kenapa rakyat marah, kerana perkara ini tiada kaitan dengan institusi raja,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN