PRN Johor: Polis kenal pasti 39 kawasan panas - Utusan Malaysia

PRN Johor: Polis kenal pasti 39 kawasan panas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis Johor mengenal pasti 39 kawasan panas (hotspot) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang akan bermula 27 Jun ini sehingga 11 Julai depan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, pihaknya akan menggerakkan seramai 11,926 anggota yang akan diselaraskan mengikut keperluan operasi semasa.

Katanya, ia terdiri daripada 610 pegawai; 11,204 anggota dan 112 pegawai awam termasuk bantuan sumber manusia daripada formasi Bukit Aman dan lain-lain kontinjen.

“Ini termasuk bantuan dari lain-lain elemen Keselamatan Dalam Negeri dan Keselamatan Awam (KDNKA) adalah seramai 54 pegawai dan 701 anggota terdiri daripada Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit Udara dan Pasukan Polis Marin (PPM).

“Sekiranya perlu bantuan sumber manusia ia akan ditambah melibatkan kontinjen dari luar. Bantuan ini akan diselaras Jabatan Pengurusan Bukit Aman melibatkan 5,763 pegawai dari luar yang akan bantu kontinjen Johor,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini hari ini.

Ab. Rahaman berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang bentuk provokasi, ugutan, hasutan, perbuatan khianat, penyebaran berita palsu, ucapan berbaur kebencian dan mana-mana tindakan yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.

“Seramai 11,814 pegawai dan anggota akan diatur gerak di seluruh pusat mengundi yang ditetapkan oleh SPR bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar pada 11 Julai depan.

“Bagi fasa terakhir iaitu pasca Pilihan Raya,
penugasan akan diteruskan sehingga selesai proses pengiraan undi, pengumuman keputusan rasmi dan keadaan keselamatan kembali stabil sepenuhnya. Polis akan bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pilihan Raya dalam memastikan proses demokrasi dapat dilaksana dengan lancar, telus dan berintegriti,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN