PRN Johor: PH tiada calon Menteri Besar berkaliber - Utusan Malaysia

PRN Johor: PH tiada calon Menteri Besar berkaliber

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tindakan Pakatan Harapan (PH) yang enggan memperkenalkan ‘poster boy’ atau calon Menteri Besar mereka Selena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini adalah kerana mereka tidak mempunyai calon berkaliber.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros susulan itu berkata, perkara itu secara tidak langsung menggambarkan kelemahan dengan tiada kesiapsiagaan gabungan politik tersebut.

Katanya, pengumuman calon Menteri Besar bertujuan memberikan keyakinan kepada ahli dan penyokong terhadap kemampuan untuk mentadbir negeri ini.

“Ketidakmampuan atau keengganan menamakan seorang individu sebagai kapten memberi gambaran bahawa pasukan tersebut tidak mempunyai calon berkaliber atau berwibawa yang diyakini mampu menggalas tanggungjawab itu.

“Jika diumumkan sebagai calon kapten, individu berkenaan mungkin tidak mampu menaikkan moral serta semangat juang pasukan, apatah lagi meyakinkan penyokong mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mempersoalkan siapa calon Menteri Besar Johor daripada Pakatan Harapan (PH) serta apakah tawaran mereka sekiranya diberikan mandat oleh rakyat negeri ini.

Sementara itu, Noor Azleen turut memberitahu, rakyat Johor berhak tahu siapakah individu yang akan memimpin kerajaan negeri sekiranya hendak diberikan mandat dan kepercayaan tersebut.

“Kegagalan PH berbuat demikian memberi gambaran bahawa mereka dalam keadaan huru-hara, bercelaru dan tidak mempunyai hala tuju jelas,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN