Pistol dijumpai dalam kereta terlibat kemalangan maut

Pistol dijumpai dalam kereta terlibat kemalangan maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Objek menyerupai sepucuk pistol ditemukan dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang terlibat kemalangan di Jalan Lencongan Barat, Laguna Merbok di sini, malam tadi.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 7 malam, kenderaan dinaiki dua lelaki yang disyaki khayal dadah terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh sebuah motosikal dinaiki lelaki warga emas berusia 67 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala.

Katanya, orang ramai yang membantu pemandu dan penumpang MPV jenis Grand Livina itu kemudian menemui satu objek menyerupai sepucuk pistol di bahagian letak kaki hadapan kereta itu.

“Penemuan itu juga dipaparkan menerusi penstriman langsung yang dibuat orang ramai di lokasi kejadian sebelum pegawai penyiasat menahan dua lelaki terbabit untuk siasatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, pemandu dan penumpang MPV berusia 35 dan 37 tahun yang ditahan itu turut mengalami kecederaan ringan akibat kemalangan terbabit.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua merekq dipercayai berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian dan ujian saringan awal air kencing terhadap mereka turut positif dadah,” katanya.

Menurut Hanyan, semakan lanjut mendapati pemandu kenderaan yang berasal dari Pulau Pinang itu mempunyai 16 rekod berkaitan dadah dan satu rekod jenayah, manakala penumpangnya mempunyai tujuh rekod dadah.

“Kedua-dua suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 serta Seksyen 41(1) dan Seksyen 44(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN