Pengundi Cina nilai prestasi bukan sentimen

Pengundi Cina nilai prestasi bukan sentimen

Neow Choo Seong
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Landskap politik negara kini berubah khususnya pengundi Cina yang lebih melihat kepada prestasi parti, rekod perkhidmatan dan keupayaan menawarkan penyelesaian terhadap isu dihadapi rakyat.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, pihaknya justeru itu tidak memandang mudah sokongan pengundi Cina bagi memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor walaupun parti itu diberikan laluan 15 kerusi untuk ditan dingi atas tiket Barisan Nasional (BN).

“MCA menerima setiap kritikan dan pandangan secara terbuka, selain melihat wujud kesedaran dalam kalangan sebahagian pengundi mengenai kepentingan mempunyai wakil yang mampu membawa suara masyarakat Cina serta masyarakat majmuk dalam kerajaan.

“Apa yang saya lihat, semakin ramai pengundi kini menilai parti berdasarkan prestasi, keupayaan menyelesaikan masalah dan kesediaan membawa suara rakyat, berbanding hanya retorik politik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu media melaporkan, MCA mempertaruhkan tujuh muka baharu daripada keseluruhan 15 calon yang akan bertanding mewakili BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada 11 Julai depan.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, parti itu mengekalkan empat penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), selain menampilkan beberapa calon baharu termasuk daripada sayap Pemuda dan Wanita MCA.

Mengulas lanjut, Neow berkata, peruntukan kerusi tersebut mencerminkan keyakinan BN terhadap kemampuan MCA, namun kepercayaan itu perlu diterjemahkan melalui prestasi dan kerja keras di lapangan.

Katanya, jumlah kerusi yang diperuntukkan bukan sekadar soal bilangan, sebaliknya merupakan pengiktirafan terhadap peranan dan sumbangan berterusan MCA dalam gabungan itu.

“Ya, saya melihat peruntukan 15 kerusi ini sebagai satu manifestasi keyakinan Barisan Nasional terhadap peranan dan sumbangan MCA dalam gabungan tersebut.

“Ia bukan sekadar soal bilangan kerusi, tetapi pengiktirafan terhadap kerja berterusan jentera MCA di peringkat akar umbi serta komitmen parti dalam memperjuangkan isu rakyat pelbagai kaum.

“MCA sedar bahawa sokongan pengundi, termasuk masyarakat Cina, tidak boleh diambil mudah. Oleh itu, kepercayaan yang diberikan ini perlu diterjemahkan melalui kerja keras, prestasi yang meyakinkan dan penyelesaian kepada masalah rakyat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN