BATU PAHAT: Adik kepada pemandu kereta BMW yang terlibat kemalangan maut empat sekeluarga di kilometer 27 Jalan Renggam-Simpang Renggam dekat sini semalam direman selama dua hari bermula hari ini.
Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 19 tahun itu dikeluarkan Majistret, Mustaqim Sukarno bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sekurang-kurangnya RM5,000 atau maksimum RM15,000 selain hilang kelayakkan memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Supek yang berpakaian seluar pendek itu dibawa ke mahkamah dalam keadaan bergari kira-kira pada pukul 10 pagi.
Semalam, media melaporkan suspek bersama abangnya yang berusia 22 tahun dipercayai memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan maut dengan lima kematian, iaitu empat sekeluarga dan abang suspek.










