Onn Hafiz umum Manifesto BN Johor, mahu sedia 200,000 peluang pekerjaan - Utusan Malaysia

Onn Hafiz umum Manifesto BN Johor, mahu sedia 200,000 peluang pekerjaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan manifesto gabungan itu yang akan ditawarkan kepada pengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Onn Hafiz yang juga Menteri Besar berkata, Manifesto BN Johor menggariskan 63 tekad berteraskan enam teras Maju Johor dengan tema “Maju Johor, Kestabilan Dikekalkan, Kemajuan Diteruskan’.

“Antara tekad menarik yang ingin saya kongsikan termasuklah memperkukuh Bantuan Kasih Johor (BKJ) secara bersasar; menyediakan skim bayaran deposit sewaan rumah orang muda Johor serta pengecualian bayaran lesen perniagaan tahun pertama kepada penjaja dan peniaga kecil.

“Selain itu, tekad lain adalah meningkatkan akses pemilikan rumah subsidi Johor melalui dana RM100 Juta, meneruskan bantuan rumah pertama, bantuan masuk rumah dan bantuan sewa rumah, serta penyediaan 200,000 peluang pekerjaan,” katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Onn Hafiz, setiap tekad dirangka berdasarkan keperluan sebenar rakyat, daripada peluang pekerjaan dan perniagaan kepada perumahan, pendidikan serta kehidupan yang lebih baik.

“Ia bukan sekadar janji, tetapi dibina atas pengalaman mentadbir, rekod yang telah dibuktikan dan usaha untuk membawa Johor lebih maju. Kini, pilihan kembali di tangan rakyat Johor. Benih yang telah disemai kini mula membuahkan hasil.

“Jangan biarkan momentum kemajuan Johor terhenti di pertengahan jalan. Kita telah membina asasnya. Kita telah melihat hasilnya. Kini tiba masanya untuk kita menyempurnakannya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN