JOHOR BAHRU: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mewajibkan semua calonnya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menandatangani Aku Janji Calon serta Perjanjian Anti Lompat Parti sebelum disahkan bertanding.
Pengarah Jawatankuasa Pemilihan Calon (JPC) Muda, Leben Siddarth berkata, langkah tegas itu sebahagian daripada komitmen parti memastikan politik bersih, berintegriti dan bertanggungjawab kepada rakyat.
“Selain perjanjian tersebut, setiap calon yang diperakukan juga diwajibkan membuat pengisytiharan aset mengikut mekanisme yang ditetapkan oleh parti.
“Langkah ini penting bagi memperkukuh prinsip ketelusan serta akauntabiliti dalam kalangan bakal wakil rakyat yang membawa panji Muda,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, JPC telah selesai melaksanakan proses penilaian dan temu duga bagi memastikan setiap calon memenuhi standard parti daripada segi komitmen, kesediaan pilihan raya, keupayaan kepimpinan, serta kesetiaan kepada perjuangan.
“Sepanjang proses itu, calon dinilai berdasarkan beberapa aspek utama termasuk ideologi, disiplin parti, kesiapsiagaan menghadapi tekanan, pemahaman dasar dan tadbir urus, serta penilaian watak.
“Senarai calon yang diperakukan itu telah dikemukakan kepada kepimpinan tertinggi parti untuk pertimbangan dan kelulusan mengikut proses ditetapkan sebelum boleh dimuktamadkan,” katanya.-UTUSAN










