Malaysia kaji salur hasil cukai karbon ke Dana Adaptasi Kebangsaan

Malaysia kaji salur hasil cukai karbon ke Dana Adaptasi Kebangsaan

ARTHUR Joseph Kurup sewaktu merasmikan Malaysia Palm Oil Carbon Conference 2026 di Menara FELDA Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF) bagi menyalurkan hasil kutipan cukai karbon ke Dana Adaptasi Kebangsan untuk membiayai pelbagai projek ketahanan iklim. 

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, cadangan itu bertujuan memastikan industri dan rakyat dapat melihat secara jelas manfaat daripada hasil cukai karbon yang dikutip kerajaan.

Menurutnya, MOF selaku pihak yang mempunyai bidang kuasa dalam pelaksanaan cukai karbon sedang meneliti mekanisme pelaksanaannya termasuk pengurusan hasil kutipan cukai tersebut.

“Pelaksanaan cukai karbon bukan bertujuan menghukum industri, sebaliknya menjadi insentif untuk mempercepatkan peralihan kepada teknologi rendah karbon dan lebih mampan.

“Kita mahu menunjukkan kepada industri ke mana wang cukai itu akan disalurkan dan Dana Adaptasi Kebangsaan merupakan antara cadangan yang sedang dibincangkan dengan MOF,” katanya merasmikan Malaysia Palm Oil Carbon Conference 2026 di sini hari ini.

Arthur berkata, kerajaan akan meneliti semula garis masa pelaksanaan cukai karbon susulan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik global ketika ini.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan cukai karbon tetap akan diteruskan pada masa hadapan selepas rangka kerja pasaran karbon negara termasuk sistem pendaftaran dan pengukuran kredit karbon diwujudkan sepenuhnya.

“Pelaksanaan cukai karbon akan mengambil kira tahap kesiapsiagaan rangka kerja perundangan serta kesediaan industri untuk beralih kepada teknologi yang lebih hijau,” katanya. 

Beliau berkata, pelaksanaan awal cukai karbon dijangka tertumpu kepada sektor tertentu seperti tenaga, keluli dan simen manakala sektor pertanian tidak termasuk dalam fasa permulaan kerana peranannya dalam menjamin keselamatan makanan negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini sebagai langkah memperkukuh tadbir urus iklim negara dan membuka laluan kepada pembangunan pasaran karbon yang lebih tersusun.

Katanya, kelulusan RUU itu merupakan fasa seterusnya dalam pelaksanaan agenda perubahan iklim negara selepas pelancaran Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 (DPIN 2.0) dan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK).

“Selepas kita mempunyai RUUPIN, barulah kita boleh menubuhkan Pejabat Pendaftaran Karbon Kebangsaan (National Carbon Registry).

“Kemudian, barulah kita boleh melaksanakan sistem pemantauan, pengukuran, pelaporan dan pengesahan (MRV) serta mengurus kredit karbon negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN