Lambakan iklan skim pulangan sewa terjamin jerat pelabur

Lambakan iklan skim pulangan sewa terjamin jerat pelabur

HISHAMUDDIN Hashim bersama mangsa pelaburan GRR di hadapan Jabatan Peguam Negara, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lambakan iklan dan tawaran daripada pelbagai syarikat yang dikesan menganjurkan skim pelaburan pulangan sewa terjamin (GRR) perlu diberi perhatian serius kerana ia boleh menjerat pelabur sehingga mengalami kerugian jutaan ringgit

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sejak tahun 2000 lagi, konsep pelaburan GRR telah mula diperkenalkan oleh syarikat yang menawarkan peluang pelaburan kepada rakyat Malaysia untuk melabur dalam bidang hartanah.

Menurutnya, pelbagai konsep dan modus operandi diperkenalkan oleh syarikat-syarikat tersebut untuk menarik minat para pelabur antaranya menjanjikan pulangan sewa terjamin selama beberapa tahun selepas projek hartanah siap digunakan dan nilai peratusan pulangan yang tinggi pada kadar 8 hingga 12 peratus setahun berdasarkan nilai pasaran pembelian hartanah.

Selain itu, katanya, syarikat turut memberikan janji dan jaminan untuk membeli semula unit hartanah yang dibeli oleh para pelabur mengikut harga pasaran semasa hartanah itu.

“Melihat kepada keadaan semasa pada ketika ini, MHO merasakan bahawa skim pelaburan GRR ini semakin hari semakin tumbuh bak cendawan selepas hujan tanpa sebarang kawal selia yang diberikan terhadap syarikat-syarikat yang menawarkan skim pelaburan GRR ini.

“Pihak agensi penguatkuasaan yang berkaitan harus memberikan perhatian terhadap pertumbuhan skim pelaburan GRR ini kerana ia boleh menjerat dan memerangkap pelabur dengan projek-projek hartanah skim pelaburan GRR yang hanya indah khabar daripada rupa sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Jabatan Peguam Negara di sini hari ini.

Terdahulu MHO hadir ke Jabatan Peguam Negara bagi memohon pertimbangan jabatan itu untuk meneliti aduan berhubung skim pelaburan GRR yang didakwa tidak sah hingga memperdaya seramai 69 mangsa membabitkan nilai kerugian kira-kira RM43.7 juga.

Hishamuddin berkata, mangsa yang tampil kepada MHO menyatakan bahawa mereka mengesyaki telah diperdaya untuk menyertai skim pelaburan GRR ini dengan tawaran-tawaran dan janji-janji manis yang diberikan oleh pihak syarikat kepada mereka.

“Tetapi apa yang berlaku kepada mangsa-mangsa ini, pulangan sewaan yang dijamin oleh pihak syarikat tidak dibayar kepada mereka sepertimana yang telah dipersetujui serta ditawarkan kepada para pelabur sebelum menyertai skim pelaburan GRR ini,” ujarnya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN