CARACAS: Angka kematian akibat dua gempa bumi kuat yang melanda Venezuela meningkat kepada 920 orang semalam, manakala puluhan ribu lagi dilaporkan masih hilang ketika usaha mencari mangsa terselamat diperkukuh dengan bantuan pasukan antarabangsa.
Penduduk di Caracas mengejek pemimpin sementara, Delcy Rodriguez, ketika beliau melawat kawasan kejiranan yang musnah teruk, susulan kemarahan orang ramai terhadap kelewatan dan kegagalan pihak berkuasa memberi tindak balas sewajarnya.
Ketua bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tom Fletcher, memberitahu AFP lebih 50,000 orang masih hilang selepas gempa bumi berkembar melanda negara itu dalam selang masa hanya seminit pada Rabu lalu, menyebabkan banyak bangunan di bahagian utara Venezuela runtuh.
Kawasan pantai La Guaira, berhampiran ibu negara Caracas, merupakan lokasi paling teruk terjejas apabila deretan bangunan ranap akibat gempa bermagnitud 7.2 dan 7.5.
Menteri Dalam Negeri, Diosdado Cabello, mengumumkan dalam ucapan yang disiarkan di televisyen bahawa akses ke kawasan bencana akan dihadkan mulai 8 malam waktu tempatan pada Jumaat.
Sementara itu, pasukan penyelamat dari Chile tiba di sebuah kompleks kediaman di La Guaira yang terdiri daripada empat bangunan tinggi dengan ratusan unit apartmen, namun sebahagian besarnya bertukar menjadi timbunan runtuhan.
“Malangnya, bangunan ini runtuh sepenuhnya dan peluang untuk menemui mangsa yang masih hidup amat tipis. Usaha kini tertumpu kepada mengeluarkan mayat mangsa yang terkorban,” kata ketua pasukan penyelamat, Nadiomar Polanco, di lokasi kejadian yang keadaannya menyerupai banyak kawasan lain di bandar itu.
Di lokasi lain, ahli keluarga, jiran dan sukarelawan menggunakan tangan kosong untuk menggali runtuhan bagi mencari mangsa yang masih hidup, sambil meluahkan rasa kecewa terhadap kekurangan jentera berat serta bantuan rasmi bagi menyelamatkan mereka yang masih terperangkap.
“Saya sedang mencari Gael kecil saya… usianya baru lima bulan,” kata Marjosly Salazar, 40, dalam keadaan penuh kesedihan selepas anak perempuannya yang berusia 16 tahun maut dalam gempa itu.
Di sebuah kawasan kediaman mewah di Caracas, Rodríguez disambut dengan sorakan dan laungan kemarahan daripada orang ramai yang ahli keluarga mereka masih terperangkap di bawah timbunan runtuhan.
“Kerajaan langsung tidak melakukan apa-apa untuk membantu rakyat,” jerit mereka dari sebalik sekatan keselamatan berhampiran sebuah bangunan yang musnah ranap.
Agensi penyelarasan bantuan kemanusiaan PBB, OCHA, memaklumkan pasukan penyelamat dari sekurang-kurangnya 17 negara sedang digerakkan bagi membantu mencari mangsa yang masih terselamat.
Pasukan penyelamat dari Sepanyol, El Salvador, Switzerland, Colombia dan Mexico sudah pun berada di lokasi bencana.
Sementara itu, seorang pegawai kanan tentera Amerika Syarikat (AS) tiba di Caracas bagi menyelaras usaha bantuan kemanusiaan yang disalurkan oleh Washington.- AFP









