Kai Wun percaya strategi BAM

Kai Wun percaya strategi BAM

KEPUTUSAN memisahkan Kai Wun dan Wei Chong diumumkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) minggu lalu sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan kekuatan beregu lelaki negara menjelang kempen Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tee Kai Wun memilih untuk mengetepikan sentimen peribadi apabila menerima keputusan barisan kejurulatihan yang memisahkannya daripada Man Wei Chong demi membuka lembaran baharu bersama juara dunia 2022, Aaron Chia.

Pemain beregu lelaki negara itu menegaskan beliau sentiasa bersedia menerima sebarang perubahan pasangan sekiranya langkah tersebut mampu memberi manfaat kepada skuad kebangsaan dalam misi memburu kejayaan di pentas antarabangsa.

Menurut Kai Wun, seseorang pemain profesional perlu bersikap terbuka terhadap setiap perancangan yang dirangka oleh jurulatih tanpa mengira siapa pasangan yang ditugaskan kepadanya.

“Sebagai pemain, kita perlu sentiasa bersedia pada bila-bila masa. Tidak kira digandingkan dengan siapa, tugas kita adalah memberikan yang terbaik setiap kali turun ke gelanggang,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.

Keputusan memisahkan Kai Wun dan Wei Chong diumumkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) minggu lalu sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan kekuatan beregu lelaki negara menjelang kempen Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Kai Wun bagaimanapun mengakui berita rombakan tersebut agak mengejutkan memandangkan beliau hanya dimaklumkan mengenainya kira-kira dua minggu lalu.

“Saya dan Wei Chong sudah lama bersama. Sudah tentu ada rasa berat hati kerana kami telah melalui banyak perkara sebagai satu pasukan.

“Tetapi jika jurulatih merasakan perubahan ini mampu memberi sesuatu yang lebih baik kepada Malaysia, saya fikir kami perlu memberi peluang dan mencubanya terlebih dahulu,” katanya.

Pemain kelahiran Melaka itu percaya pengalaman luas Aaron sebagai juara dunia dan pemenang pingat Olimpik mampu membantu meningkatkan lagi tahap permainannya terutama dari aspek mental dan kematangan ketika menghadapi situasi tekanan tinggi.

Malah, Kai Wun menyifatkan dirinya sebagai pemain yang mampu menyesuaikan diri dengan pelbagai corak permainan sekali gus tidak berdepan masalah besar untuk membentuk persefahaman bersama pasangan baharu.

“Saya mahu belajar sebanyak mungkin daripada Aaron, terutama cara dia mengawal tekanan, membuat keputusan ketika perlawanan serta kualiti pukulan yang dimilikinya,” katanya.

Mengulas trend rombakan pasangan yang sering dilakukan di peringkat antarabangsa, Kai Wun berkata langkah tersebut bukan sesuatu yang luar biasa kerana kuasa besar badminton dunia seperti China dan Korea Selatan turut menggunakan pendekatan sama bagi mencari kombinasi terbaik menjelang kejohanan utama.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN