Hakim Danish pecah rekod Litar Brno

Hakim Danish pecah rekod Litar Brno

Hakim Danish pecah rekod Litar Brno sebanyak dua kali pada Grand Prix Motosikal Republik Czech di Brno, Republik Czech, hari ini. - Ihsan SIC Racing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli melakar keputusan sensasi apabila memecah rekod sepusingan terpantas Litar Brno yang dilakukannya sebanyak dua kali pada Grand Prix Motosikal Republik Czech, hari ini.

Pada sesi latihan bebas pertama (FP1) yang dilangsungkan lebih awal, Hakim Danish telah mencatat masa terpantas 2 minit 04.938 saat (s) yang merupakan rekod baharu Litar Brno yang sebelum ini dipegang oleh pelumba Sepanyol, Jose Antonio Rueda (2:05.454s) pada tahun lalu.

David Almansa dari pasukan Liquid Moly Dynavolt Intact GP berada di kedudukan kedua (2:05.246s), manakala pelumba Red Bull KTM Ajo, Alvaro Carpe berada di tempat ketiga (2:05.459s).

Rekod tersebut, bagaimanapun, tidak bertahan lama apabila pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSI itu sekali lagi cemerlang apabila mencipta rekod baharu buat kali kedua dengan catatan sepusingan 2:04.754s pada sesi latihan rasmi yang diadakan pada sebelah petang.

Pelumba Sepanyol, Almansa sekali lagi terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua dengan masa sepusingan 2:04.944s dan Maximo Quiles dari pasukan CFMoto Gaviota Aspar Team di kedudukan ketiga (2:05.013s).

Keputusan tersebut juga melayakkan pelumba berusia 18 tahun itu secara automatik ke sesi kelayakan 2 (Q2), esok, bagi merebut grid terbaik menjelang perlumbaan sebenar pada Ahad.

Hakim Danish berkata, dia memang menikmati tunggangan di Litar Brno kerana susun atur litar itu mempunyai banyak selekoh laju dan panjang yang memerlukan kelajuan tinggi jenteranya ketika memasuki serta keluar dari selekoh.

“Selain itu, saya juga sangat selesa dengan tetapan jentera yang disediakan pasukan.

“Setiap kali keluar ke litar, pasukan sentiasa melakukan penambahbaikan dan ia membuatkan saya semakin yakin untuk menguji had kemampuan saya.

“Keyakinan itu membantu saya mencatat masa yang baik dan mempunyai keyakinan penuh pada jentera,” katanya kepada media di Malaysia, hari ini.

Bagaimanapun, menurut anak jati Terengganu itu, tugasnya masih belum selesai dan perlu terus fokus untuk terus bekerja lebih keras kerana dia percaya ramai pelumba lain akan meningkatkan catatan masa mereka, esok.

Jelasnya, masih ada beberapa aspek yang boleh diperbaiki dan dia mahu menggunakan setiap sesi yang ada untuk terus meningkatkan prestasi.

“Harapan saya adalah untuk memberikan yang terbaik sekali lagi esok,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN