JOHOR BAHRU: Dua beradik maut selepas disyaki terjatuh dari tingkat 12 sebuah pangsapuri di Jalan Tampoi, Kawasan Perindustrian Tampoi, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dan adik lelakinya berusia lapan tahun dipercayai terjatuh dan ditemukan tidak sedarkan diri di tingkat tujuh bangunan berkenaan.
Menurut sumber, kanak-kanak perempuan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan di hospital.
Penduduk yang menyaksikan kejadian itu memaklumkan kanak-kanak perempuan tersebut dipercayai cuba menarik adiknya yang berpaut pada balkoni rumah keluarganya di tingkat 12.
“Saya terdengar jeritan sebelum melihat orang ramai berkumpul. Memang terkejut apabila dimaklumkan mangsa adalah dua kanak-kanak yang juga adik-beradik jatuh dari tingkat 12,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Menurutnya, siasatan masih dijalankan dan akan mengeluarkan kenyataan media dalam masa terdekat. – UTUSAN










