Bangunan MCA Yong Peng terbakar, 80 peratus musnah - Utusan Malaysia

Bangunan MCA Yong Peng terbakar, 80 peratus musnah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Bangunan MCA Cawangan Yong Peng, di sini yang telah wujud sejak lebih 70 tahun lalu musnah dalam satu kebakaran, malam tadi.

Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon berkata, bangunan tersebut bukan sekadar sebuah bangunan sebaliknya sebuah mercu tanda bersejarah di Yong Peng.

Katanya, bangunan berkenaan telah menjadi saksi kepada perjalanan sebuah komuniti yang dibina dengan semangat, pengorbanan serta perjuangan generasi terdahulu.

“Malam tadi, bangunan yang menyimpan begitu banyak kenangan itu telah musnah dijilat api. Di sinilah tempat berlangsungnya pelbagai aktiviti masyarakat. Di sinilah juga terciptanya banyak kenangan, persahabatan dan detik-detik penting yang membentuk sejarah Yong Peng.

“Bagi ramai orang, bangunan ini bukan sekadar struktur batu dan kayu, tetapi sebahagian daripada kehidupan mereka,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Yong Peng itu, insiden tersebut bagaimanapun tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.

“Sudah tentu peristiwa ini meninggalkan rasa sedih dan kehilangan yang sukar digambarkan. Namun saya percaya, yang paling bernilai bukanlah bangunan itu sendiri, tetapi semangat perpaduan, khidmat kepada masyarakat dan perjuangan yang telah lama berakar di dalamnya.

“Saya akan memimpin pasukan untuk membangunkannya semula agar ia dapat kembali berdiri dengan lebih baik, terus menjadi pusat komuniti dan rumah bersama buat masyarakat Yong Peng. Bangunan boleh musnah, tetapi semangat kita tidak akan pernah padam,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Pegawai Bomba Kanan II, Muhammad Amier Syah Hamzah berkata, pihaknya mendapat maklumat berhubung kebakaran itu pada pukul 8.28 malam.

Katanya, seramai 14 anggota beserta tiga jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Premis bangunan itu mengalami kebakaran dengan kemusnahan lebih daripada 80 peratus struktur bangunan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN