GENEVA: Pemimpin kesihatan global sedang menilai penggunaan vaksin atau ubat yang masih dalam pembangunan bagi mengekang penularan Ebola di Republik Demokratik Congo (DRC), ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan kebimbangan serius terhadap kepantasan dan skala wabak tersebut.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, sekurang-kurangnya 500 kes disyaki Ebola dan 130 kematian disyaki direkodkan di DRC sejak wabak baharu itu dikesan, meningkat ketara daripada sekitar 200 kes dan 65 kematian yang dilaporkan ketika pengumuman awal pada Jumaat.
Sementara itu, Dr Mesfin Teklu Tessema daripada Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa (IRC) yang beroperasi di wilayah Ituri, kawasan paling terjejas, berkata jumlah kes sebenar berkemungkinan jauh lebih tinggi daripada laporan semasa.
“Kes yang kita lihat ini mungkin hanya ‘hujung gunung ais’,” katanya, sambil memberi amaran kemungkinan penularan ke Sudan Selatan hanya ‘tinggal masa’ susulan sempadan yang longgar.
Beliau turut memberi amaran kelemahan sistem kesihatan di negara jiran itu boleh menyebabkan situasi menjadi lebih sukar dipantau.
“Kita sebenarnya berada dalam keadaan seperti ‘terbang dalam gelap’,” katanya.
IRC yang menyediakan bantuan kemanusiaan di rantau berkenaan turut melaporkan kekurangan serius peralatan perlindungan asas seperti sarung tangan, pelitup muka dan cermin mata pelindung untuk petugas kesihatan.
Dalam pada itu, Tessema menegaskan Ebola merupakan penyakit yang sangat berbahaya dengan kadar kematian antara 30 hingga 50 peratus dalam keadaan rawatan tersedia, dan boleh menjadi lebih tinggi jika rawatan lewat atau tidak mencukupi.
Terdapat beberapa strain virus yang boleh menyebabkan Ebola. Strain Bundibugyo, yang dikenal pasti sebagai punca kepada wabak semasa, belum mempunyai vaksin atau rawatan yang diluluskan.
Para saintis dari Republik Demokratik Congo (DRC) dan Uganda menerbitkan genom virus itu secara dalam talian pada malam Isnin.
Pakar yang meneliti data genetik tersebut berkata ia menunjukkan wabak ini berkemungkinan berpunca daripada ‘peristiwa limpahan’, iaitu apabila manusia dijangkiti melalui kontak dengan haiwan yang dijangkiti, sebelum ia merebak dari manusia ke manusia.
“Ini berguna kerana ia menunjukkan wabak ini berpotensi untuk dikesan puncanya dan diputuskan rantaian penularannya seperti yang pernah dilakukan sebelum ini. Jika berlaku limpahan berulang secara berasingan daripada sumber haiwan, ia akan menyukarkan usaha untuk menghentikan wabak ini,” kata Profesor Virologi di Universiti Bristol, David Matthews.
Seorang pegawai WHO di wilayah Ituri berkata, wabak itu mungkin mengambil masa yang panjang untuk dikawal.
“Saya tidak fikir dalam tempoh dua bulan kita akan selesai dengan wabak ini.
“Di peringkat antarabangsa, kami sedang meneliti vaksin calon atau rawatan yang tersedia dan sama ada ada yang boleh digunakan dalam wabak ini,” kata wakil WHO di DRC, Anne Ancia, kepada wartawan di Geneva semasa Perhimpunan Kesihatan Sedunia, sambil merujuk kepada satu wabak Ebola sebelum ini yang mengambil masa dua tahun untuk ditamatkan.
Hampir 2,300 orang maut antara 2018 dan 2020 dalam wabak paling dahsyat di DRC setakat ini.









