KINSHASA: Wabak Ebola meragut 65 nyawa di Republik Demokratik Congo, menurut pegawai kesihatan.
Sejumlah 246 kes disyaki demam berdarah itu dilaporkan setakat ini di wilayah Ituri yang dilanda konflik, bersempadan dengan Uganda dan Sudan Selatan.
Kementerian Kesihatan Uganda berkata, negara itu turut mengesahkan satu wabak dan seorang lelaki berusia 59 tahun meninggal dunia di sebuah hospital di Kampala akibat penyakit tersebut selepas pulang dari DRC.
Pegawai di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Afrika berkata, mereka bimbang mengenai risiko penularan lanjut.
Wilayah Ituri merupakan kawasan bandar perlombongan yang menjadi laluan keluar masuk penduduk secara berterusan, sekali gus menyukarkan kawalan penyakit berjangkit.
Ebola ialah penyakit serius dengan kadar kematian yang tinggi. Ia merebak melalui sentuhan langsung dengan cecair badan seperti darah atau muntah pesakit, atau mayat, termasuk semasa upacara pengebumian.
CDC Afrika berkata, makmal penyelidikan kebangsaan DRC mengesan virus Ebola dalam 13 daripada 20 sampel yang diuji.
DRC mencatat 16 wabak Ebola sejak virus itu dikenal pasti pada 1976. Kebiasaannya, wabak di negara itu melibatkan strain Zaire Ebola yang mempunyai vaksin tersedia.
Bagaimanapun, pegawai kesihatan DRC memaklumkan, sampel yang diuji adalah daripada strain Bundibugyo, yang tidak mempunyai vaksin berlesen.
Sebelum ini, hanya dua wabak Bundibugyo dilaporkan, iaitu pada 2007 dan 2012.
CDC Afrika berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat tergempar pada Jumaat bersama pihak berkuasa dari DRC, Uganda dan Sudan Selatan, selain Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta syarikat farmaseutikal bagi membincangkan langkah kawalan lanjut.
“CDC Afrika berdiri bersama kerajaan dan rakyat Republik Demokratik Congo dalam menghadapi wabak ini.
“Memandangkan pergerakan penduduk yang tinggi antara kawasan terjejas dan negara jiran, penyelarasan pantas di peringkat serantau adalah amat penting,” kata Ketua Pengarah CDC Afrika, Dr Jean Kaseya.
Kes dilaporkan terutamanya di zon kesihatan Mongwalu dan Rwampara, dengan kes disyaki turut direkodkan di Bunia yang berdekatan.- THE GUARDIAN









