KULAI: Tempoh reman enam lelaki warga tempatan yang terlibat dalam insiden tetak seorang pemuda sehingga mati di hadapan kedai makan di Pekan Nanas, Pontian, minggu lalu ditambah tujuh hari.
Perintah sambung reman terhadap kesemua suspek berusia antara 18 hingga 22 tahun itu dikeluarkan Majistret, R. Salini di Mahkamah Majistret Kulai, di sini hari ini.
Perintah reman itu bertujuan membantu polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas tempoh reman tujuh hari terdahulu tamat hari ini.
Kesemua suspek yang memakai pakaian lokap tiba di pekarangan mahkamah dalam keadaan bergari kira-kira pukul 9 pagi sambil diiringi pegawai dan anggota polis.
Pada 21 Mei lalu, seorang lelaki berusia 22 tahun ditemukan maut dalam keadaan berlumuran darah akibat kecederaan parah kerana ditetak pada bahagian tangan dan kaki.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussien Mion Hussain dilaporkan berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.










