POKOK SENA: Seorang lelaki cedera parah selepas terperangkap dalam kejadian runtuhan tanah dan batu di kawasan kuari di Simpang Bukit Tembaga, di sini.
Dalam kejadian sekitar pukul 2.07 petang, mangsa berusia 29 tahun yang merupakan operator jengkaut tersepit setelah runtuhan itu merosakkan bahagian kabin jentera berat berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena, Pegawai Bomba Tinggi II Bakar Saad berkata, struktur pintu dan rangka kabin jentera itu telah mengalami deformasi selain dipenuhi tanah.
“Justeru itu, kerja-kerja menyelamat dijalankan dengan menggunakan peralatan hidraulik dan peralatan khas.
“Proses itu dilakukan bagi membuka ruang akses kepada mangsa yang tersepit sebelum dia berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat dan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan dan operasi penyelamatan ditamatkan sepenuhnya pada pukul 2.52 petang selepas keadaan disahkan selamat. – UTUSAN










