RSGC terus perkasa pembangunan golf remaja bertaraf elit

RSGC terus perkasa pembangunan golf remaja bertaraf elit

EZANI Abu Bakar berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Golf Junior Jemputan RSGC ke-11 2026 di Royal Selangor Golf Club, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: The Royal Selangor Golf Club (RSGC) terus memperkukuh pembangunan golf remaja bertaraf elit menerusi penganjuran Kejohanan Golf Junior Jemputan RSGC ke-11 yang menghimpunkan pemain muda dari 12 negara.

RSGC memaklumkan kejohanan tahun ini disertai pemain muda dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam, Filipina, Korea Selatan, Lithuania, China, Hong Kong, Australia dan Amerika Syarikat.

Menurut Ahli Jawatankuasa Am RSGC, Datuk Ezani Abu Bakar berkata, kejohanan tersebut menjadi platform penting dalam mencungkil bakat pemain muda selain memberi peluang kepada mereka bersaing di peringkat antarabangsa.

Katanya, kejohanan itu turut dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Golf Malaysia (MGA) bagi memperkukuh pembangunan golf junior pada tahap elit.

“Antara hadiah utama kejohanan ini ialah peluang kepada pemain terbaik Malaysia kategori bawah 18 dan bawah 15 tahun untuk beraksi dalam Kejohanan Golf Remaja Taiwan 2026,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Golf Junior Jemputan RSGC ke-11 2026 di Royal Selangor Golf Club, di sini hari ini.

Menurut Ezani, peluang beraksi di Taiwan merupakan satu pencapaian besar buat pemain muda kerana kejohanan tersebut menghimpunkan pemain golf remaja elit dari pelbagai negara.

“Ini antara cara untuk menggalakkan pemain junior kita keluar bersaing dengan pemain terbaik dunia dan kembali dengan pengalaman berharga.

“Pemain yang menyerlah dalam kejohanan tersebut turut berpotensi mendapat perhatian pihak luar termasuk peluang melanjutkan pelajaran atau menerima tajaan dalam bidang sukan golf,” katanya.

Menurut pihak penganjur, kejohanan tersebut turut mencipta rekod tersendiri apabila tiga kejayaan hole-in-one direkodkan sepanjang pertandingan berlangsung.

“Kejohanan itu bukan sahaja menjadi medan persaingan pemain muda, malah platform membentuk disiplin, keyakinan diri dan daya saing dalam kalangan atlet remaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN